Anda di sini

Belajar erti perpaduan daripada Sabah dan Sarawak

Advertisement
JEROMEY
JEROMEY

TINJAUAN Utusan Borneo di sekitar bandar raya Kuching baru-baru ini mendapati rata-rata orang awam di sini bersetuju bahawa warga Semenanjung harus belajar erti perpaduan sebenar daripada Sabah dan Sarawak.

Menurut Jeromey Sayong Malintang, 28, perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak dan Sabah merupakan contoh terbaik yang harus diikuti warga Semenanjung. 

Walaupun wujud jurang perbezaan dari segi etnik, bangsa dan agama, rakyat Sabah dan Sarawak masih hidup bertoleransi, saling memahami serta bertolak ansur antara satu sama lain. 

"Sebagai contoh, sekiranya sesuatu perkara berlaku terhadap rakyat Sarawak mahupun Sabah terutamanya isu politik membabitkan perubahan dalam pentadbiran, kedua-dua rakyat dari negeri ini akan bangkit bersatu mempertahan atau memperjuangkan hak mereka.

"Perkara seperti ini seharusnya menjadi contoh kepada warga Semenanjung (kerana) mereka hanya mempunyai tiga bangsa utama.

"Justeru, mereka sepatutnya lebih teguh bersatu dan hidup dengan harmoni dalam mengekalkan perpaduan," ujar Jeromey, eksekutif jualan dari Miri yang kini menetap di Kota Samarahan.

RADEN BAISYIAH
RADEN BAISYIAH

Berlainan pula dengan Raden Baisyiah Budiman yang berpendapat bahawa warga Semenanjung kurang bertoleransi terutamanya apabila menyentuh mengenai kepelbagaian bangsa.

“Secara logiknya, mereka hanya terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

"Oleh itu, mereka susah untuk berfikiran terbuka dan kadang kala susah menerima agama yang dianuti sesebuah kaum,” ujar penjawat awam yang beralamat di Petra Jaya itu.

Tambah wanita berusia 30 tahun itu lagi, Sarawak dan Sabah mempunyai lebih 40 jenis etnik namun jarang sekali mendengar mengenai perselisihan faham antara penduduknya.

“Mungkin kerana kebanyakan rakyat Sarawak dan Sabah mengamalkan perkahwinan campur antara masyarakat pelbagai kaum.

“Justeru, pemikiran rakyat kita lebih terbuka terutamanya dalam menerima sesuatu adat atau tradisi dan kepercayaan agama, bangsa dan kaum lain,” ujarnya sambil menambah, perkahwinan campur mendorong individu untuk tidak menilai orang lain secara terburu-buru, di samping tidak mempertikaikan perbezaan yang wujud antara kaum.

ANDY
ANDY

Andy Law Law Kai Wen, pelajar jurusan kejuruteraan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga sependapat dengan Raden.

“Perkahwinan campur merupakan norma bagi masyarakat Sarawak dan keluarga saya tidak terkecuali.

"Keluarga kami berbangsa Cina namun abang saya berkahwin dengan perempuan berbangsa Kayan, manakala sepupu saya berkahwin dengan orang berbangsa India.

"Malah, ibu saudara saya juga memeluk Islam selepas berkahwin dengan lelaki berbangsa Melayu,” ujar pelajar berusia 22 tahun itu.

Ujarnya lagi, walaupun wujud kekangan dari segi bahasa, adat dan kepercayaan, keluarga mereka masih tinggal secara harmoni di bawah satu bumbung.

“Keharmonian ini jelas terlihat semasa menyambut perayaan.

"Keluarga kami akan berkumpul setiap kali sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Hari Gawai,” ujarnya lagi. 

Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo juga mendapati mendapati Sabah dan Sarawak adalah contoh terbaik acuan perpaduan negara.

Kepelbagaian budaya dan agama masyarakat majmuk di kedua-dua negeri itu bukan alasan untuk melonggarkan hubungan antara rakyat.

NUR ASMAA
NUR ASMAA

Menurut pelajar dari sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Stutong Nur Asmaa Zainuddin, gagasan Malaysia yang terbina daripada ikatan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bertuah kerana memperoleh nikmat perpaduan meskipun dihuni rakyat berbilang bangsa.

“Pemimpin di Malaysia sering menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai contoh terbaik ikatan perpaduan di negara kita.

“Namun hal ini bukan bermaksud Semenanjung Malaysia memiliki semangat perpaduan longgar tetapi dengan adanya kepelbagaian budaya masyarakat di Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia, ia tidak mengganggu keharmonian,” ujar pelajar berusia 15 tahun itu.

Asmaa juga berkata, sebagai warga yang cintakan keamanan tanpa mengira peringkat, Malaysia perlu memastikan perpaduan itu terus terpelihara sampai bila-bila.

“Justeru rakyat Malaysia perlu sentiasa berfikiran terbuka dan menghormati antara satu sama lain demi kepentingan masa hadapan,” ujarnya.

NATASHA
NATASHA

Ketika ditanya mengenai perkara paling penting yang memastikan Malaysia tetap teguh bersatu walaupun wujud perbezaan kaum, bangsa dan agama, Natasha David, 22, berpendapat rakyat Malaysia harus melihat perbezaan kaum itu sebagai satu kekuatan, bukannya kelemahan.

“Dengan menolak ke tepi perbezaan ini, segala syak wasangka atau stereotaip terhadap sesuatu kaum atau bangsa dapat dielakkan.

"Ambil Miri sebagai contoh, sebuah bandar raya yang harmoni. Gereja dan masjid dibina sebelah menyebelah tanpa timbul sebarang isu.  

“Dalam mencapai makna ini, semuanya bermula dari rumah. Ibu bapa memainkan peranan penting dan harus menjadi contoh bagi anak-anak mereka, adalah lebih mudah membentuk minda kanak-kanak di usia muda,” ujar usahawan muda yang terlibat aktif dalam perniagaan dalam talian itu. 

Ketika ditanya mengenai erti Hari Malaysia pula, rata-rata responden bersetuju tarikh 16 September secara tidak rasminya merupakan simbol penyatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Hari Malaysia harus dilihat sebagai simbol perpaduan dan penyatuan rakyat.

"Pada tarikh ini, Semenanjung serta Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bergabung membentuk sebuah negara.

"Tanpa Hari Malaysia, negara kita tidak akan berdiri megah seperti yang dilihat pada hari ini,” menurut Natasha dan Raden. 

Menurut mereka lagi, rakyat dari pelbagai budaya, kaum, dan agama juga bersatu merayakan hari istimewa ini.  

“Melalui Hari Malaysia, pelancong atau orang luar tahu perpaduan antara kaum di negara kita berada dalam keadaan sangat baik,” ujar Jeromey dan Andy sambil menambah, pemimpin memainkan peranan penting dalam memastikan perpaduan dalam negara sentiasa berada dalam keadaan baik dan terkawal. 
 

  • oleh
  • Advertisement