Anda di sini

Atlet Sarawak julang nama Malaysia di seluruh dunia

Advertisement
 Pandelela sedang beraksi dalam acara individu.
HEBAT: Pandelela sedang beraksi dalam acara individu.

ARENA sukan negara telah menyaksikan pelbagai detik kejayaan yang disumbangkan atlet-atlet kelahiran Bumi Kenyalang.

Sejak mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu, satu persatu kejayaan membanggakan dipahat atlet Sarawak baik di kejohanan kebangsaan mahupun di persada antarabangsa.

Hari ini kita telah menyaksikan kejayaan ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg yang muncul atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.

Kejayaan figura sukan berusia 26 kelahiran Bau itu tidak ternoktah di situ sahaja apabila beliau memperbaiki rekod peribadinya dengan memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio empat tahun kemudian.

Julai lepas, Olahragawati Kebangsaan 2012 itu berjaya menempah slot awal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan misi peribadinya pasti mahu mengukir satu lagi sejarah, muncul sebagai pemenang pingat emas pertama negara di temasya terulung dunia itu.

 Watson Nyambek semasa era kegemilangannya
'THE FLYING DAYAK': Watson Nyambek semasa era kegemilangannya

Begitu juga bekas jaguh pecut, Watson Nyambek yang mencipta fenomena luar biasa dengan menjadi manusia terpantas di Malaysia, malah digeruni di rantau Asia sekitar tahun 90-an.

Selama 18 tahun, rekod 10.30 saat dipegang atlet flamboyan yang terkenal dengan gelaran ‘The Flying Dayak’ itu tidak terusik sebelum dipecah Khairul Hafiz Jantan pada SUKMA Sarawak 2016. 

Namun sebenarnya, sumbangan atlet Sarawak telah bermula sejak era tahun 60-an lagi.

Generasi baharu hari ini mungkin kurang mengenali nama atlet lari berpagar Bala ‘Kuda’ Ditta yang berasal dari daerah kecil Bario, Lawas. 

Namun pencapaiannya sebagai atlet Sarawak pertama menjejakkan kaki di temasya Sukan Olimpik Tokyo pada 1964 masih menjadi sebutan hingga ke hari ini.

Kemudian muncul Wong Tee Kui, atlet baling tukul besi dari Sarikei yang cukup digeruni dengan kejayaan merangkul lima pingat emas Sukan SEA sejak 1991 hingga 2001.

Legasi Tee Kui diteruskan generasi baharu dalam sukan baling seperti Jacky Wong, Grace Wong dan Queenie Ting yang juga berasal dari Sarikei.

Kita masih mengenang jasa dan sumbangan bekas atlet bina badan negara Allahyarham Bujang Taha yang boleh dianggap perintis kepada sukan bina badan di Sarawak.

Di kemuncak kariernya, Bujang memenangi gelaran Mr Asia empat kali iaitu pada 1980, 1982, 1983 dan 1986, selain memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA di Kuala Lumpur 1977 dan di Jakarta 1979.

Malah, beliau pernah menjejakkan kaki di atas pentas gah Mr Universe di Belgium pada 1982. 

 Buda bersama trofi dimenanginya di Kejohanan Bina Badan di Thailand pada Disember 2018.
BADANG NEGARA: Buda bersama trofi dimenanginya di Kejohanan Bina Badan di Thailand pada Disember 2018.

Pada awal 90-an, Sarawak telah melahirkan seorang lagi badang bertaraf dunia Buda Anchah.

Bekas Pegawai Waran I Angkatan Tentera Malaysia berusia 47 tahun itu cukup popular dengan pelbagai kejayaan yang diraihnya dalam kejohanan antarabangsa.

Terbaharu, Buda berjaya memenangi pingat emas dan perak pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia ke-10 di Chiangmai, Thailand pada Disember tahun lepas.

 Welson menggigit pingat emas dimenanginya semasa Sukan SEA 2017.
RAJA KOLAM RENANG: Welson menggigit pingat emas dimenanginya semasa Sukan SEA 2017.

Dalam sukan renang pula, Sarawak boleh berbangga dengan bintang muda Welson Sim, 22, yang semakin mengukir nama di arena antarabangsa.

Ramai pastinya masih tidak menjangka kejayaannya menewaskan pemenang emas Sukan Olimpik Rio 2016 dari Australia, Mack Horton pada kejohanan di Mare Nostrum Tour, Monte Carlo, Monaco pada Februari 2017.

Pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, perenang kelahiran Kuching itu berjaya memadam dua rekod kejohanan dalam kategori 400 meter dan 200 meter.

Arena wushu di Malaysia cukup sinonim dengan nama Diana Bong atau Loh Jack Chang, atlet kelahiran Sarawak yang membantu menjulang nama negara pada kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan banyak lagi.

Malah ramai lagi atlet Sarawak telah menjulang nama negara antaranya Sapok Biki (tinju), Azlan Iskandar (skuasy), Bryan Nickson Lomas (terjun), Daniel Bego (renang) dan Joseph Kalang Tie (bola sepak).

ATLET PARALIMPIK

 Bonnie dengan bangga memperagakan pingat emas dimenanginya pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting Nur-Sultan di Kazakhstan.
BERBAKAT BESAR: Bonnie dengan bangga memperagakan pingat emas dimenanginya pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting Nur-Sultan di Kazakhstan.

Jika Sarawak boleh berbangga dengan kejayaan atlet-atlet normal, pencapaian atlet paralimpik juga tidak kurang hebatnya.

Mana tidaknya, Sarawak merupakan jaguh tidak terkalah dalam temasya Sukan Para SUKMA selama 13 edisi berturut-turut, satu pencapaian yang cukup gah selama lebih dua dekad yang pastinya amat dicemburui negeri-negeri lain.

Sebagai rekod, kontinjen Sarawak memenangi temasya dwitahunan itu pada 1994 (Johor), 1996 (Sarawak), 1998 (Selangor), 2000, 2002, 2004, 2006, 2008 (Kuala Lumpur), 2010 (Melaka), 2012 (Pahang), 2014 (Perlis), 2016 (Sarawak) dan 2018 (Perak).

 Atlet renang para kebangsaan Jamery Siga menunjukkan pingat yang dimenanginya pada Sukan Para ASEAN 2017.
PENYUMBANG UTAMA: Atlet renang para kebangsaan Jamery Siga menunjukkan pingat yang dimenanginya pada Sukan Para ASEAN 2017.

Malah ramai atlet para Sarawak juga telah menempa nama di persada antarabangsa seperti Jamery Siga (renang), Fridden Dawan (renang), Jong Yet Khie (powerlifting), Sona Agan (powerlifting) dan Julius Jeranding (renang).

Pada Julai lepas, kita menyaksikan kemunculan jaguh powerlifting baharu Bonnie Bunyau Gustin.

Pada usia semuda 19 tahun, Bonnie telah bergelar jaguh dunia susulan kejayaannya menggondol pingat emas pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting Nur-Sultan di Kazakhstan dengan angkatan 207 kilogram, sekali gus melayakkannya bertanding pada Sukan Paralimpik di Tokyo tahun depan.

 Persembahan memukau Loh Jack Chang semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
AKSI BINTANG: Persembahan memukau Loh Jack Chang semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
 Grace Wong membuat balingan semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
GADIS BESI: Grace Wong membuat balingan semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
  • oleh
  • Advertisement