Anda di sini

Affandi, tokoh penyiaran Sarawak yang berdedikasi

 Affandi ketika ditemu bual berkongsi pengalamannya membesar dan berkerjaya dalam era kemerdekaan.
MASIH BERSEMANGAT: Affandi ketika ditemu bual berkongsi pengalamannya membesar dan berkerjaya dalam era kemerdekaan.

MEMBESAR dan berjaya dalam era kemerdekaan bukan suatu yang mudah dicapai, namun Dato Affandi Tahir, 78, telah membuktikan tekad dan semangat juang yang tinggi membolehkannya berjaya dalam kerjaya serta kehidupan.

Anak nelayan dari Kampung Barong, perkampungan kecil nelayan Melanau di Rajang yang dilahirkan pada 17 Julai, 1941 (seperti dalam sijil kelahiran) ini tidak pernah menjadikan kemiskinan sebagai halangan untuk mengejar impiannya.

"Saya memulakan persekolahan di Sekolah Abang Buyuk, Kampung Jerijeh pada 1946, ketika itu umur sebenar saya ialah tujuh tahun dan daripada detik itu saya mula tinggal berjauhan daripada ibu dan ayah kerana perlu tinggal bersama kakak kedua Salimah yang tinggal di situ selepas berkahwin dengan pemuda dari kampung itu," katanya dalam temu bual bersama Utusan Borneo di Kuching, baru-baru ini.

Pada 1954, Affandi melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Batu Lintang, satu-satunya sekolah milik kerajaan kolonial British di Sarawak.

"Ia tidak semudah difikirkan, ayah (Tahir Belabau) mendaftar saya ke Darjah 4 di Sekolah Abang Galau di Rajang, setahun kemudian beliau mahu saya belajar di Sekolah Menengah Batu Lintang tetapi tidak berjaya kerana saya terlewat menduduki ujian kemasukan disebabkan masalah komunikasi.

"Pada 1954 atas pujukan ayah, saya memohon semula tetapi ditolak kerana ketika itu saya berusia 15 tahun, pemohon tidak boleh lebih 13 tahun, ketika itu saya tidak ada sijil kelahiran tetapi berjaya menyakinkan pentadbir sekolah yang saya dilahirkan pada 1941," ceritanya.

Dalam serba kekurangan menjadi pelajar di Sekolah Menengah Batu Lintang (1954-1958), Affandi belajar hidup berdikari dan berkawan dengan semua bangsa.

Masa berlalu dengan pantas, selepas lima tahun di Batu Lintang, Affandi meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Dragon yang jauh lebih baik.

 Affandi ketika menjalani latihan praktikal di BBC London.
TINGKAT KEMAHIRAN: Affandi ketika menjalani latihan praktikal di BBC London.

Affandi tamat persekolahan di Tingkatan 4 dan peperiksaan Senior Cambridge, namun nasib tidak menyebelahinya kerana beliau gagal dalam peperiksaan itu.

"Bukan kerana saya tidak belajar atau tidak tahu menjawab soalan tetapi ketika itu saya panik dan minda saya tiba-tiba kosong, saya cuba lakukan yang terbaik tetapi gagal.

"Saya malu kerana ketika itu saya masih mendapat biasiswa kerajaan. Saya tidak tahu apa perlu dilakukan. Saya tidak mahu pulang ke kampung kerana malu," katanya.

PELUANG BAHARU

Affandi mengambil sedikit masa untuk mendapatkan semula keyakinan diri dan mula mencari pekerjaan, dengan menghadiri temu duga bagi jawatan Pegawai Tadbir Negeri (SAO) tetapi gagal kerana tidak dapat menjawab soalan berhubung Ordinan Hutan dan Dasar Pendidikan Sarawak yang dikemukakan panel penemu duga yang diketuai Mr William (pegawai British).

"Oleh kerana terdesak mahu bekerja, saya tanpa rasa takut dan segan bertemu semula dengan Mr Wiliam kerana ingin tahu kenapa saya tidak dipilih (untuk jawatan SAO).

"Saya tidak mendapat jawapan yang saya mahu sebaliknya Mr William bertanya jika saya ada memohon pekerjaan lain dan saya memberitahu pernah memohon jawatan sebagai pembantu penyiaran di Radio Sarawak, sekarang dikenali Radio TV Malaysia.

"Tanpa berkata apa-apa beliau mendail telefon dan menghubungi Pengarah Radio Sarawak Peter Ratcliffe, yang kemudian memaklumkan kepada saya bahawa permohonan saya sebagai pembantu penyiaran sedang diproses," katanya.

 Affandi semasa membuat liputan majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri yang pertama Tun Openg selepas penubuhan Malaysia.
KOMITED: Affandi semasa membuat liputan majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri yang pertama Tun Openg selepas penubuhan Malaysia.

Menyambung ceritanya Affandi berkata, beberapa hari kemudian beliau dipanggil menghadiri temu duga iaitu sekitar April 1961 dan beliau seterusnya diminta melapor diri pada 18 April.

"Saya berasa bangga kerana budak kampung seperti saya menjadi penyampai radio. Ketika itu Radio Sarawak satu-satunya stesen radio tempatan manakala juruhebah dan selebritinya amat terkenal.

"Ia boleh didengar penduduk di Kuching, Serian dan Bau menerusi gelombang sederhana (MW).

"Pada masa itu juga ada siaran radio yang boleh didengar menerusi gelombang pendek (SW) seperti Radio Malaya, Radio Republik Indonesia, BBC (British Broadcasting Corporation) dan banyak lagi.

"Radio Sarawak ditubuhkan pada 7 Jun 1954 dan bersiasaran dalam Bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Iban.

"Penyiaran di Sarawak bermula dari awal, tidak ada penyiar atau penyampai, penerbit rancangan dan jurutera berpengalaman," katanya.

Beliau berkata, kakitangan teknikal Radio Sarawak didatangkan dari negara luar dan pekerja dari negeri ini bekerja sambil belajar.

Antara perintis Radio Sarawak ialah Salleh Askor dari Semenanjung Malaysia, manakala Taibi Ali, Ismail Hassan dan Hasanah Daud, orang Sarawak berkhidmat di Perkhidmatan Melayu.

Manakala Perkhidmatan Bahasa Inggeris diterajui Chew Hock Guan dari Singapura dan Perkhidmatan Iban pula Gerusin Lembat (Tan Sri) dan Pancras Eddie.

Affandi antara staff Radio Sarawak yang dipilih menjalani latihan penyiaran profesional selama empat bulan di BBC London bermula 24 September, 1962.

Sepanjang menjalani latihan itu, beliau berpeluang menimba pengalaman di Stesen BBC Glasgow bagaimanapun beliau dipanggil pulang ke tanah air (Sarawak) lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

"Ketika itu perancangan dibuat untuk menyatukan semua negeri di Malaya dan negeri-negeri Borneo (Sabah, Sarawak dan Brunei) dan Singapura bagi membentuk Persekutuan Malaysia.

"Namun penubuhan Persekutuan Malaysia mendapat bantahan dengan berlakunya pemberontakan Brunei dan konfrantasi Indonesia serta ancaman pengganas komunis pada penghujung 1962.

"Sebaik tiba Sarawak, saya terus ditugaskan untuk menerbitkan beberapa program perang psikologi bagi menangani propaganda Indonesia dan Komunis ketika itu," katanya.

Pada masa sama katanya, beliau melakukan tugasan luar dengan mengikut tentera British ke seluruh Sarawak dalam pelbagai misi termasuk ke sempadan Indonesia untuk menemu bual orang yang terjejas akibat insiden pengeboman serta serangan pengganas.

 Affandi menemu bual anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sejingkat.
DEMI TUGAS: Affandi menemu bual anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sejingkat.

PERTARUH NYAWA

Beliau menyifatkan tugas itu berbahaya tetapi kerana minat mendalam dan jiwanya didedikasikan kepada tugas, semua itu bukan halangan buatnya.

"Memang berbahaya, kami boleh terkena tembakan pengganas bila-bila masa, tetapi syukur kepada Tuhan, tiada apa-apa yang berlaku.

"Banyak letupan berlaku di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan ketika itu, Radio Sarawak perlu menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menangani propaganda Indonesia," katanya.

Affandi kemudian menceritakan detik cemas ketika membuat liputan di Biawak, Lundu (sempadan Sarawak-Kalimantan) apabila pengganas mengebom kawasan itu.

"Dalam detik cemas itu, saya menemu bual saksi dan mangsa yang selamat dalam insiden pengeboman.

"Kami bersembunyi di dalam lubang besar kesan pengeboman.

"Semua itu dilakukan tanpa rasa takut demi menyampaikan maklumat terkini kepada umum," katanya.

Selepas dua tahun berkhidmat bersama Radio Sarawak, Affandi meneruskan kerjayanya bersama Radio Malaysia Sarawak selepas penubuhan Malaysia pada 16 September, 1963.

Beliau berpeluang menyaksikan peristiwa penting iaitu Gabenor Kolonial terakhir Sir Anton Alexander Waddel meletak jawatan dan digantikan Tun Abang Haji Openg sebagai Yang di-Pertua Negeri yang pertama.

Pada 1968 Affandi dinaik pangkat sebagai Ketua Perkhidmatan Melayu.

Pada 1976 beliau dilantik sebagai Kontroler Program, tugasnya lebih luas dan mencabar apabila perlu mengawasi semua bahagian program pada tahun sama beliau dilantik Kontroler Bahagian di Stesen kecil RTM Limbang.

Pada Ogos 1980, beliau ditugaskan semula ke RTM Kuching sebagai Timbalan Pengarah Program.

Ketika itulah beliau memperkenalkan Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri, Pertandingan Bintang P. Ramlee dan Pertandingan Bintang Kecil serta banyak lagi.

Selepas berkhidmat selama 35 tahun bersama Radio Sarawak kemudian Radio Televisyen Malaysia, Affandi bersara wajid selepas berkhidmat sebagai Pengarah RTM Johor Kawasan Selatan (1992-1996).

Tidak lama kemudian, beliau menyertai stesen radio swasta Cats FM.

Bermula sebagai penasihat, Affandi kemudianya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif stesen radio swasta itu.

Selepas 12 tahun bersama Cats FM, beliau mengambil keputusan bersara bagi memberi peluang kepada orang baharu untuk mengambil alih jawatan tersebut.

 Affandi ketika berkhidmat bersama Cats FM.
DALAM KENANGAN: Affandi ketika berkhidmat bersama Cats FM.