Anda di sini

Wawasan Kemakmuran Bersama rapatkan jurang ekonomi

Advertisement
 Tun Dr Mahathir (tengah) pada Sidang Media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Bangunan Perdana Putra semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Tun Dr Mahathir (tengah) pada Sidang Media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Bangunan Perdana Putra semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Wawasan Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk merapatkan jurang kemiskinan antara negeri kaya dan miskin, bandar dan luar bandar serta pendapatan pekerja, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas kabinet mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama di Perdana Putra di sini semalam, Dr Mahathir berkata perbincangan hari ini (semalam) akan dijadikan kertas kabinet untuk dibawa dalam mesyuarat kabinet mingguan akan datang.

“Selama tiga jam kami berbincang dengan panjang lebar dan perbahasan. Ini menunjukkan betapa seriusnya kami,” katanya dalam sidang media yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan menteri-menteri kabinet.

Dr Mahathir berkata di bawah wawasan berkenaan, kerajaan akan memberikan lebih keutamaan kepada hasil  berbanding peluang.

Dr Mahathir berkata secara umumnya Jemaah Menteri bersetuju bahawa terdapat jurang antara negeri-negeri.

“Ada negeri yang amat kaya, ada negeri yang amat miskin. Kita harus kurangkan jurang antara negeri-negeri yang kaya dengan  yang miskin ini.

“Ini bermakna tumpuan akan diberi kepada negeri yang miskin. Jika dapat kerajaan akan tingkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Ditanya negeri yang dikategorikan miskin, Dr Mahathir menyenaraikan negeri terbabit ialah Kelantan, Perlis dan Kedah.

Dr Mahathir berkata terdapat juga jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar di mana secara puratanya bandar ‘lebih kaya’ dari luar bandar walaupun tidak dapat dinafikan terdapat juga kemiskinan berlaku dalam bandar.

“Satu progran mesti diadakan untuk meningkatkan pendapatan luar bandar,” katanya.

Dr Mahathir berkata terdapat juga jurang yang ketara antara rakyat yang kaya dengan miskin di mana yang miskin didapati terlalu miskin berbanding yang kaya.

“Yang kaya umpamanya sekarang ini ialah eksekutif dalam company (syarikat) yang boleh dapat  sampai dua tiga juta (ringgit) setahun sedangkan yang pekerja di bawah ini tidak dapat. Jauh sangat bezanya,” katanya.

Dalam meningkatkan taraf pekerja bawahan itu, Perdana Menteri berkata bukan dengan cara hanya menaikkan gaji mereka tetapi juga meningkatkan keupayaan pekerja supaya menjadi lebih produktif.

“Beri training kepada mereka supaya mereka mempunyai kebolehan yang lebih, kecekapan yang  lebih dan boleh membuat kerja yang lebih canggih,” katanya.

Dr Mahathir berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai peranan yang penting untuk meningkatkan keupayaan serta kemahiran pekerja dan oleh itu, kerajaan akan memberi keutamaan  terhadap TVET.   

“Bila kita tentukan sesuatu itu priority maka bajet negara akan memberi penekanan kepada yang  priority,” katanya, sambil menambah jika kerajaan tidak mempunyai wang yang mencukupi, bajet untuk bukan keutamaan akan dikurangkan supaya dapat meningkat peruntukan kepada yang keutamaan.

Di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama, Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan hanya akan memilih mereka yang benar-benar layak untuk diberikan kontrak kerajaan.

“Sekarang ini kita tak boleh benar jualan apa-apa kontrak daripada kerajaan atau lesen kerajaan ataupun AP (Approved Permit). Tak boleh jual pada sesiapa.

“Sebaliknya kita akan tentukan orang yang akan diberi kontrak ataupun AP ataupun lesen itu adalah orang yang layak,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan akan memberi latihan kepada yang tidak layak sehingga pemohon itu layak.

“Kalau dia tidak layak, tidak ada duit, tidak ada kemahiran, tak tahu bisnes, tiba-tiba diberi kontrak, yang itu akhirnya tidak mencapai tujuan. Kita punya tujuan ialah akhirnya kita mencapai sasaran,” katanya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata semangat Wawasan Kemakmuran Bersama itu akan turut diterapkan dalam Belanjawan 2020, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober depan, dengan memberi keutamaan kepada bidang seperti TVET dan latihan kemahiran.

Menurutnya, Kemakmuran Bersama itu merupakan wawasan yang akan bermula dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan RMK13, untuk tempoh 10 tahun.

Pertimbangan berkaitan semangat Wawasan Kemakmuran Bersama diterapkan ke dalam Belanjawan 2020 akan diperhalusi Kementerian Kewangan, kata Mohamed Azmin.

Pada Mei lepas, Dr Mahathir memperkenalkan wawasan baharu yang dikenali Kemakmuran Bersama dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia dalam usaha memajukan negara.

Wawasan itu adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan saksama di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030. — Bernama

Advertisement