Anda di sini

Mas Idayu buat tekaan tepat di ICSYVMY2

Advertisement
 Norafheda Madrigal dan Mas Idayu berduet. — Gambar ihsan TV3
MELODI TERINDAH: Norafheda Madrigal dan Mas Idayu berduet. — Gambar ihsan TV3

EPISOD terbaharu program I Can See Your Voice Malaysia 2 (ICSYVMY2) sekali lagi hangat diperkata-katakan oleh warganet (netizen) di Malaysia, apabila ramai terhibur dengan gelagat lucu Ratu Gelek Malaysia iaitu Mas Idayu yang hampir terpedaya oleh Jihan Muse.

Mas Idayu atau lebih dikenali sebagai ‘Mami’ telah hadir sebagai artis jemputan pada minggu lepas, dan turut disertai oleh Elly Mazlein serta Aman Ra sebagai penyiasat jemputan.

Di pusingan ketiga, Jihan, Aman Ra dan Elly Mazlein diberi tanggungjawab untuk mempertahankan seorang penyanyi misteri selepas mendengar rakaman suara sebenar penyanyi misteri secara individu.

Setelah selesai berbincang dengan panel penyiasat, Mami telah membuat keputusan untuk menyingkirkan ‘Seniwati Makanan’ (Faiqah Syahirah Abu Chik) yang merupakan seorang penyanyi sebenar, lantas ini memberi peluang kepada ‘Teh Tarik Satu’ (Khairul Azmy Suhaimi) untuk mara ke pusingan seterusnya.

Selepas mendengar rakaman suara sebenar Khairul Azmy, Jihan telah cuba sedaya-upaya untuk mempertahankannya daripada tersingkir dengan menyatakan bahawa dia memiliki suara yang sedap.

Namun, komen padu Jihan langsung tidak berjaya mempengaruhi Mas Idayu yang tetap dengan pendiriannya untuk menyingkirkan Khairul Azmy. Setelah Khairul Azmy mendedahkan suara sebenarnya, Mami terus bangun lalu “menyerang” Jihan kerana menipu.

Keputusan Mami untuk singkirkan Khairul Azmy dan memilih untuk berduet dengan ‘Melodi Terindah’ (Norafheda Madrigal) ternyata membuahkan hasil kerana dia merupakan salah seorang penyanyi sebenar yang bersaing dalam episod kali ini. Mendendangkan lagu berjudul ‘Senggol Senggolan, Cubit Cubitan’, ramai yang terpegun dengan persembahan duet antara Norafheda dan Mami itu. Dengan itu, Norafheda berjaya mendapat tiket emas untuk membuat persembahan di Showcase ICSYVMY2.

Terdahulu, Mami telah menyingkirkan ‘Mr. Tak Ada Masalah’ (Mohd Fazril Ariffin) di pusingan pertama. Bak kata Shuk, ini merupakan kesilapan pertama yang dibuat oleh Mami kerana Fazril sememangnya mempunyai bakat menyanyi.

Memasuki pusingan kedua pula, dua lagi penyanyi misteri iaitu ‘Bukan Popia Biasa’ (Muhammad Nasrullah Abdul Ghani) yang juga merupakan seorang penyamar serta penyanyi sebenar ‘Lagenda Klasik’ (Mimi Noor’ain Ridzuan) terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas ICSYVMY2 kerana persembahan lip-sync mereka tidak berjaya meyakinkan Mami.

ICSYVMY musim kedua dihoskan oleh dua pengacara yang sememangnya lucu dan pasti membuatkan penonton tidak kering gusi iaitu Shuk Sahar dan Sean LJE.

Manakala tugas sebagai ‘penyiasat tetap’ pula masih lagi digalas oleh Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul sama seperti musim pertama.

Selain tiga penyiasat tetap ini, mereka turut ditemani oleh dua lagi orang penyiasat jemputan untuk membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah sebenarnya penyamar bersuara sumbang dalam kalangan penyanyi misteri ini.

Setiap penyanyi misteri yang disingkir akan ke pentas penentuan yang mana beliau akan mendedahkan suara sebenar.

Seandainya penyanyi misteri terakhir merupakan penyanyi sebenar, penyanyi itu akan dapat menyertai Showcase ICSYVMY2 dan membuat persembahan bersama dengan artis-artis ternama tanah air.

Namun, jika penyanyi misteri terakhir merupakan penyamar, beliau akan membawa pulang RM3,000.

ICSYVMY musim kedua dibawakan khas oleh Oppo selaku penaja bersama. Program ini juga dimeriahkan lagi dengan artis-artis jemputan kesayangan ramai.

Antaranya Hael Husaini, Khai Bahar, Nabila Razali, Datin Alyah, Syamel, Siti Sarah, Floor 88, Haqiem Rusli, Ella, Ajai, Sam Bunkface dan Mas Idayu. Showcase ICSYVMY pula disertai oleh Misha Omar, Ara Johari, Andi Bernadee dan Luqman Faiz.

Dapatkah anda mengenal pasti siapa penyanyi sebenar dan siapa pula penyamar bersuara sumbang? Jangan lupa untuk saksikan ICSYVMY musim kedua pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam, hanya di TV3.

ICSYVMY juga boleh dapat disaksikan menerusi strim LIVE secara HD di tonton, YouTube TV3 Malaysia Official dan YouTube TV9 Malaysia Official.

Advertisement