Anda di sini

Jerebu: Juragan kapal dan bot diingatkan berhati-hati jika turun ke laut

 Yusri berkata APMM Tawau akan turut memantau perkembangan kesan jerebu yang berlaku di perairan Tawau.
NASIHAT: Yusri berkata APMM Tawau akan turut memantau perkembangan kesan jerebu yang berlaku di perairan Tawau.

TAWAU: Semua juragan dan pengendali kapal atau bot di perairan Tawau diingatkan berhati-hati jika turun ke laut berikutan situasi jerebu yang turut melanda daerah ini.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, jerebu mengakibatkan jarak penglihatan terhad dan berpotensi mengakibatkan kemalangan.

“Saya harap pengguna maritim mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya di kawasan yang terdedah untuk perlanggaran, kerana perairan daerah ini laluan kapal-kapal dagang.

“Kita harap pengguna perahu-perahu kecil berhati-hati khususnya ketika turun ke laut pada waktu malam dan menggunakan alat navigasi dibenarkan,” katanya di sini.

 Juragan atau pengendali kapal besar dan bot kecil dinasihatkan supaya berhati-hati semasa berada di laut.
WASPADA: Juragan atau pengendali kapal besar dan bot kecil dinasihatkan supaya berhati-hati semasa berada di laut.

Yusri berkata, APMM Tawau sentiasa membuat pemantau di perairan negara dan menasihatkan warga maritim supaya mengutamakan langkah keselamatan yang perlu.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengendali bot-bot penumpang supaya sentiasa memantau perkembangan cuaca dan tidak terlalu mengejar keuntungan semata-mata.

“Janganlah menggunakan kelajuan yang tinggi sehingga memudahkan perlanggaran berlaku dan sentiasalah utamakan keselamatan penumpang yang dibawa,” katanya.

 Orang ramai boleh mengikuti perkembangan bacaan kadar IPU dari masa ke semasa melalui apim.doe.gov.my yang dikemaskini oleh Jabatan Alam Sekitar.
RUJUKAN: Orang ramai boleh mengikuti perkembangan bacaan kadar IPU dari masa ke semasa melalui apim.doe.gov.my yang dikemaskini oleh Jabatan Alam Sekitar.

Semakan menerusi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar melalui apim.doe.gov.my pada jam 6 petang semalam menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Tawau meningkat.

Stesen Tawau yang mencapai bacaan IPU pada kadar 77 (sehingga jam 6 petang), adalah antara 38 stesen di seluruh negara yang diklasifikasikan berada pada tahap sederhana.