Anda di sini

Isu ditinggalkan kerajaan terdahulu halang janji royalti minyak Sabah, Sarawak: Lim

Advertisement
 Lim bersama Pengarah 1 Utama Tan Sri Teo Chiang Kok (kanan) melancarkan 1Pay Digital E-Wallet and Online Shopping E-Commerce semalam. — Gambar Bernama
LANCAR: Lim bersama Pengarah 1 Utama Tan Sri Teo Chiang Kok (kanan) melancarkan 1Pay Digital E-Wallet and Online Shopping E-Commerce semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Isu yang ditinggalkan kerajaan terdahulu menghalang pelaksanaan janji yang dibuat di bawah manifesto Pakatan Harapan, khususnya berkaitan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan terdahulu menyebabkan sejumlah besar dana sama ada dibazirkan atau meletakkan Malaysia dalam keadaan bermasalah.

“Anda bercakap mengenai dana RM150 bilion, yang bukannya satu jumlah yang kecil. Ini sudah tentu memberi cabaran kepada kerajaan untuk melaksanakan janji.

“Pada masa sama, saya yakin kerajaan akan mengumumkan langkah tertentu untuk membuktikan keutamaan kepada Sabah dan Sarawak tidak berkurang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan e-dompet 1Pay dan platform e-dagang Oneshop oleh Pusat Beli-belah 1 Utama di sini, semalam.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan mengambil langkah konkrit untuk memenuhi janjinya kepada kedua-dua negeri tersebut, dengan mengambil contoh, pembatalan perjanjian Rakan Pelaksana Projek bagi projek Lebuhraya Pan Borneo.

Lim berkata keputusan itu dibuat berasaskan rasionalisasi kos, selain untuk memastikan harga, perkhidmatan dan pelaksanaan yang lebih baik.

Ketika ditanya sekiranya kerajaan akan mempertimbangkan pandangan sesetengah pakar ekonomi bahawa cukai barang dan perkhidmatan (GST) perlu dilaksanakan semula, beliau berkata: “kita memansuhkan GST pada Jun tahun lepas dan tidak bercadang untuk memperkenalkannya semula.”

Sementara itu, Pusat Beli-belah 1 Utama semalam secara rasminya melancarkan e-dompet 1Pay dan laman web beli-belah dalam talian, https://www.oneshop.com,my.

Mengulas mengenai acara semalam, Lim berharap lebih ramai lagi peruncit melaksanakan peralihan kepada e-dagang dan e-dompet, justeru itu rakyat Malaysia dapat menikmati kaedah pembayaran yang lebih mudah, selamat dan boleh dipercayai selain transaksi tunai.

Beliau berkata pendigitalan, persaingan dan inovasi telah membawa Malaysia mengalami pembaharuan sistem pembayaran, dengan jumlah transaksi pembayaran mudah alih meningkat 20 kali ganda kepada 34 juta transaksi pada 2018 berbanding kurang daripada dua juta pada 2017. — Bernama

Advertisement