Anda di sini

Alibaba anjur Minggu Malaysia kedua promosi produk Malaysia di China

Advertisement

KUALA LUMPUR: Alibaba Group, dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), menganjurkan Minggu Malaysia yang kedua untuk mempromosikan produk Malaysia kepada pengguna di China.

Dalam kenyataan semalam, kumpulan itu berkata susulan kejayaan Minggu Malaysia yang pertama pada 2018,  acara pada tahun ini akan diadakan dari 16-22 Sept, menampilkan pelbagai pilihan jenama dan produk Malaysia.

Setiausaha Agung pejabat globalisasi Alibaba Group, James Song berkata terdapat permintaan yang meningkat terhadap produk Malaysia di China, terutamanya dalam sektor pertanian dan makanan.

“Susulan pasaran domestik di China terus berkembang dengan penggunaan yang meningkat, peniaga Malaysia boleh menggunakan Minggu Malaysia untuk memanfaatkan permintaan yang meningkat, mendedahkan produk mereka kepada lebih ramai pengguna China dan meningkatkan jualan eksport.

“Kejayaan Minggu Malaysia pada tahun lepas menjadi bukti kepada trend yang semakin meningkat ini,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng berkata Malaysia komited untuk meningkatkan eksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan kerjasama dengan Alibaba merupakan langkah ke arah itu.

Melalui platform Alibaba, katanya PKS Malaysia dapat memperluaskan produk mereka ke pasaran China.

“Sejak pelancaran, terdapat kesedaran yang tinggi mengenai jenama dan produk Malaysia dalam kalangan pengguna China. Kami berharap dapat membawa lebih banyak produk Malaysia yang berkualiti pada tahun-tahun akan datang untuk merebut permintaan yang semakin meningkat ini,” katanya.

Kempen Minggu Malaysia menggabungkan pelbagai aktiviti khusus untuk mempromosikan dan meningkatkan peluang bagi jenama Malaysia mencapai pengguna China, selain memanfaatkan permintaan mereka yang semakin meningkat kepada barangan asing yang berkualiti tinggi.

Pada tahun ini, Alibaba menyediakan saluran jualan yang lebih kukuh berbanding tahun lepas untuk membantu jenama Malaysia menarik hati dan minda pengguna China.

Saluran jualan utama yang menyertai kempen itu pada kali ini termasuklah Taobao livestreaming, Juhuasuan, Tmall, Tmall Global, Freshippo, 1688.com dan Fliggy.

Sempena kempen itu, Juhuasuan, platform jualan kilat Alibaba akan turut menganjurkan acara pada 18 Sept di Kuala Lumpur, sebagai inisiatif untuk memacu eksport dalam kategori produk utama dari Malaysia, seperti sarang burung, durian dan white coffee.

Acara penutup akan diadakan pada 22 Sept di Shanghai untuk meraikan pencapaian kempen tersebut.

Ia dijangka dihadiri oleh menteri-menteri kanan dan wakil-wakil lain dari agensi kerajaan Malaysia, bersama dengan eksekutif kanan dari Alibaba Group. — Bernama

Advertisement