Anda di sini

Tan Leong juara, vokal terbaik SMKeta Idol

 Para pemenang dan peserta Konsert Final SMKeta Idol merakam gambar kenangan bersama guru-guru dan juri pertandingan.
UNTUK ALBUM: Para pemenang dan peserta Konsert Final SMKeta Idol merakam gambar kenangan bersama guru-guru dan juri pertandingan.

BINTULU: Tan Leong Juan meraih johan sekali gus menggondol gelaran vokal terbaik pada pertandingan akhir Konsert SMKeta Idol 2019 yang berlangsung di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau baru-baru ini.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masingnya disandang oleh Ellysa Shareen Landa Beti dan Alexson Nyanggau Clement.

Persembahan terbaik diraih oleh Ellysa Shareen.

Seramai 14 peserta menyertai pertandingan yang hanya khusus bertemakan lagu kebangsaan dan kenegaraan tersebut.

Ia merupakan salah satu aktiviti yang diadakan sepanjang bulan kemerdekaan pada tahun ini di bawah kelolaan Panitia Sejarah SMK Tatau.

Juri jemputan khas yang mengadili pertandingan itu ialah Tuah Jili dan juara FiKon 7 Willy Linggang.

Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan Pengetua Peter Use Lenjau serta turut disaksikan Guru Kanan Bidang Kemanusiaan Ariffin Mohidin dan Ketua Panitia Sejarah Noraima Md Mustapha.

Pemenang untuk johan, naib johan dan tempat ketiga mendapat hadiah wang tunai, trofi dan sijil dan pemenang saguhati menerima sijil sahaja.

Penerima anugerah persembahan terbaik dan vokal terbaik juga menerima wang tunai dan trofi.