Anda di sini

AirAsia bantu promosikan Wilayah Persekutuan

Advertisement
 Khalid (empat kanan) bersama tetamu melancarkan Inflight Media Advertisement Space AirAsia di Lapangan Terbang Labuan, baru-baru ini. Turut kelihatan Amir (tiga kiri), Rozman (dua kiri) dan Aziz (tiga kanan).
LANCAR: Khalid (empat kanan) bersama tetamu melancarkan Inflight Media Advertisement Space AirAsia di Lapangan Terbang Labuan, baru-baru ini. Turut kelihatan Amir (tiga kiri), Rozman (dua kiri) dan Aziz (tiga kanan).

LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif bekerjasama dengan AirAsia untuk mempromosi program dan produk pelancongan Wilayah Persekutuan dengan lebih konsisten.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad yakin dengan AirAsia selaku syarikat tambang murah terbaik dunia selama 11 tahun dan pengalaman selama 19 tahun serta memiliki 232 pesawat dapat menjayakan misi itu.

“Dengan pengalaman AirAsia sebagai pemain utama khususnya sektor pengangkutan udara tambang murah, sememangnya ia dapat memberi kekuatan dari segi data pengguna untuk kita bersama-sama berkongsi keindahan serta destinasi tumpuan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“Kejayaan yang dilakar oleh AirAsia dalam menuju ke arah Digital Company and Lifestyle Business serta penyediaan teknologi terkini bagi kemudahan pengguna membuatkan kami yakin dan ingin bekerjasama dalam memastikan sektor pelancongan di Wilayah Persekutuan terlaksana dengan jayanya,” katanya sempena Majlis Pelancaran Inflight Media Advertisement Space AirAsia di Lapangan Terbang Labuan, baru-baru ini.

Menurut Khalid, kaedah terbaharu medium pengiklanan dalam pesawat AirAsia melalui
media digital portal rokki.com, Overhead Lockers, Meal Tray Back dan Printed Advertising akan dapat memasarkan produk pelancongan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan lebih meluas.

“Majalah Travel 360 yang ditempatkan di dalam 232 pesawat AirAsia dan dibaca oleh lebih lima juta pembaca sebulan serta boleh diakses melalui Travel360.com dengan capaian lebih 100,000 muat turun sebulan ternyata akan memberi pengetahuan kepada para pelancong mengenai Wilayah Persekutuan,” katanya.

Jelas beliau, Wilayah Persekutuan mempunyai pelbagai tarikan produk pelancongan yang menarik untuk dipromosi kepada pelancong luar.

“Labuan misalnya, semakin dikenali melalui program-program pelancongan yang bertaraf antarabangsa seperti Labuan International Sea Challenge, Labuan Art Festival dan the 1st Labuan International Kite Festival, selain menjadikan Taman Burung Labuan yang berusia 22 tahun hasil ilham Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai salah satu simbol pelancongan penting di Labuan tidak lama lagi,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KWP Datuk Seri Saripuddin Kasim, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Pengerusi Perbadanan Labuan Dato’ Sri Amir Hussien, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman serta pengasas bersama dan Pengarah Founder AirAsia Berhad Dato’ Abdel Aziz Bakar.

Advertisement