Anda di sini

Abam Shaff lancar single ‘Tinggal Tanda Tanya’

Advertisement
 Abam Shaff dengan lagu pertama ciptaannya, ‘Tinggal Tanda Tanya’.
SINGLE BAHARU: Abam Shaff dengan lagu pertama ciptaannya, ‘Tinggal Tanda Tanya’.

DJ radio Sandakan FM, Fieyz Shafizan atau lebih dikenali sebagai Abam Shaff telah melancarkan single pertama bertajuk ‘Tinggal Tanda Tanya’ di Youtube, baru-baru ini.

Keistimewaan lagu ini adalah ia merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Abam Shaff sendiri yang diterbitkan oleh S Nazri Kausar Studio.

“Alhamdulillah, saya berasa lega selepas pelancaran lagu Tinggal Tanda Tanya kerana banyak dugaan yang saya tempuhi selama menyiapkan lagu ini.

“Saya buat lagu sendiri, begitu juga dengan video lirik rasmi lagu ini. Sepatutnya video lirik sudah dilancarkan di Youtube pada Ogos lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di Sandakan, kelmarin.

Beliau memberitahu disebabkan ada masalah yang tidak dapat dielakkan, dia terpaksa menyiapkan sendiri video lirik ini dalam masa kurang dari seminggu.

“Walaupun saya dapat siapkan video lirik ini dalam masa yang singkat, tetapi kualiti tetap menjadi keutamaan saya. Biarlah saya terpaksa ambil masa yang lama untuk menyiapkan lagu ini, sebab saya sangat-sangat pentingkan kualiti berbanding kuantiti.

“Ada rakan-rakan dan peminat yang bertanya, ‘Kenapa tiada video muzik?’ Sebenarnya saya sengaja keluarkan video lirik terlebih dahulu untuk tujuan promosi sahaja,” jelasnya.

Abam Shaff memberitahu dia ingin pendengar faham terlebih dahulu apa maksud lagu itu.

“Tetapi terpulang kepada pendengar untuk menggambarkan lagu ini dari sudut pandangan masing-masing. Video muzik akan menyusul nanti,” katanya.

Artis tempatan Sabah berasal dari Sandakan ini juga tahu ramai yang menantikan video muzik yang penuh dengan tanda tanya itu, dan ada yang bertanya bila akan melancarkan video muzik rasmi itu.

“Untuk video muzik masih dalam perancangan dan dijangka akan mulakan penggambaran pada November depan di Kota Kinabalu.

“Kalau tiada halangan, video muzik akan dilancarkan pada tahun ini juga. InshaAllah, video muzik itu akan menceritakan kisah sebenar di sebalik lagu ini,” jelasnya.

Abam Shaff mahu ambil masa berehat seketika namun rehat bukan ingin berhenti berkarya tetapi perlukan masa untuk rehatkan diri.

“Ia kerana, dalam menyiapkan lagu ini, saya betul-betul keletihan ditambah lagi dengan kerja seharian. InshaAllah, saya akan mulakan penggambaran setelah selesai majlis nikah saya nanti,” katanya.

Ditanya berhubung majlis pernikahannya kelak, beliau memberitahu akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi tetapi tarikh masih dirahsiakan.

“Buat masa ini biarlah rahsia. Ini bukan gimik untuk tarik perhatian orang ramai, tetapi yang saya hanya mampu katakan hanya saya akan bernikah dengan tunang saya dalam masa terdekat ini,” katanya.

Ditanya selepas video lirik rasmi Tinggal Tanda Tanya dilancarkan di Youtube, Abam Shaff berkata lagu itu mendapat sambutan ramai.

Pada awalnya, beliau agak risau dengan penerimaan orang ramai tentang lagu itu, tetapi kerisauan itu hilang apabila ia mendapat respon yang baik daripada pendengar.

“Saya melahirkan rasa syukur di atas respon positif terhadap lagu ini. Setakat ini belum ada lagi komen negatif, sebab semuanya memberikan respon yang positif.

“Saya juga berharap penerimaan orang ramai terutamanya peminat terhadap lagu ini akan kekal positif,” katanya.

Bagi beliau, jumlah tontonan yang agak perlahan di Youtube bukanlah masalah baginya sebagai pendatang baharu dalam bidang seni suara.

“Saya faham dengan situasi ini, saya sebagai budak yang baru belajar,” katanya.

Abam Shaff berkata, dia terpaksa bekerja keras untuk mempromosikan lagu itu dengan bantuan rakan yang lain dan bersaing secara sihat dengan artis-artis di Sabah mahupun di Kuala Lumpur yang sudah menempah nama dalam industri muzik tanah air.

“Ini adalah lagu pertama saya dan ia adalah percubaan saya yang pertama, sokongan padu daripada orang ramai sudah memadai bagi saya tanpa mengira jumlah tontonan di Youtube,” katanya.

Beliau berkata ada juga yang memberi komen bahawa lagu itu ada kaitan dengan hidup mereka.

Katanya, ia adalah satu respon yang baik daripada pendengar, yang bermakna orang faham apa yang dia tulis dan sampaikan dalam lagu berkenaan.

“Ada juga yang beri komen agar lagu ini ‘jangan tinggalkan tanda tanya saja, carilah jawapannya’, bermaksud ada yang menantikan jawapan daripada lagu ini,” katanya.

Beliau memberi penjelasan sebe-narnya lagu itu tidak berakhir di situ sahaja tetapi memang ada sambungannya.

“Sambungan lagu ini sudah saya siap tulis sepenuhnya, hanya tinggal hantar ke studio dan tunggu masa untuk rakaman. Lagu kedua itu dijangka akan dilancarkan pada tahun hadapan,” katanya.

Abam Shaff berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan lagu Tinggal Tanda Tanya, terutama-nya Cikgu Nazri Saidali selaku penerbit, Cikgu Sutrisno dari Chromatic Studio dan Doughlas Hendry yang melakukan susunan muzik mantap untuk lagu itu.

Beliau berharap single pertamanya itu akan terus mendapat respon positif daripada pendengar.

“Dengarlah lagu ini tanpa ada paksaan. Nantikan juga video muzik Tinggal Tanda Tanya yang mungkin memberikan impak besar kepada semua. Pendengar boleh minta lagu ini di stesen radio kegemaran masing-masing.

“Teruskanlah menyokong lagu-lagu tempatan negeri Sabah. Kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement