Anda di sini

Venue sambutan Hari Malaysia ditukar ke Stadium Perpaduan

Advertisement
 Awang Tengah pada sidang media, semalam. Turut kelihatan Dr Jerip (duduk kanan), Naroden (duduk kiri) serta yang lain. — Gambar Tan Song Wei
TUKAR TEMPAT: Awang Tengah pada sidang media, semalam. Turut kelihatan Dr Jerip (duduk kanan), Naroden (duduk kiri) serta yang lain. — Gambar Tan Song Wei

KUCHING: Keputusan untuk menukar tempat sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2019 ke Stadium Perpaduan dibuat selepas mengambil kira aspek kesihatan orang ramai susulan jerebu di bandar raya ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga pengerusi bersama jawatankuasa penganjur Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, venue asal acara itu ialah Padang Merdeka, namun ditukar ke Stadium Perpaduan selepas jawatankuasa penganjur mengadakan mesyuarat.

Menurut beliau, penganjur tidak mahu meletakkan kesihatan orang ramai dalam risiko dengan kemungkinan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat sehingga lebih 200.

“Selepas diberi taklimat oleh Jabatan Meteorologi, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai situasi jerebu, kita tiada pilihan tetapi memilih lokasi penganjuran baharu iaitu di Stadium Perpaduan kerana melibatkan isu kesihatan.

“Ia diramalkan bahawa masalah jerebu akan berterusan sehingga akhir September dan buat masa ini, didapati terdapat lebih daripada 100 titik panas yang dikesan di Kalimantan, Indonesia.

“Lebih teruk lagi arah angin masih bergerak menuju ke Sarawak, justeru ia tidak sesuai untuk kita mengadakan acara Hari Malaysia di Padang Merdeka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pertukaran tempat sambutan Hari Malaysia yang turut dihadiri Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais dan Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil di Hornbill Skyways di sini, semalam.

Awang Tengah berkata, bagaimanapun pihak penganjur akan terus berusaha untuk memastikan bahawa sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan yang bermula pada jam 7 malam itu diadakan dengan jayanya.

“Acara-acara utama sambutan di Stadium Perpaduan masih sama seperti yang telah kita rancang untuk di Padang Merdeka,” jelasnya.

Beliau memberitahu persiapan sambutan di Padang Merdeka telah mencapai 80 peratus dan ada di antara peserta yang membuat persembahan telah melakukan latihan selama tiga minggu di tempat berkenaan.

“Saya amat menyanjung kerjasama semua pihak termasuk pegawai-pegawai kerajaan khasnya yang telah membuat persiapan di Padang Merdeka sebelum ini tetapi terpaksa bertukar tempat,” katanya.

Mengulas mengenai acara pada sambutan berkenaan, selain acara di Stadium Perpaduan turut diadakan perarakan kereta berhias bermula jam 8 malam hingga 9.30 malam melibatkan laluan dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menghala ke Tebingan Kuching kemudian berakhir di i-Com Square tetapi bergantung kepada keadaan cuaca.

Selain itu, persembahan wayang kulit, menaikkan Jalur Gemilang dan Konvoi Kembara Merdeka.

“Tetamu kehormat pada sambutan, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

“Manakala antara kenamaan yang hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan Ketua Menteri Sabah, menteri-menteri besar serta ketua-ketua menteri lain,” katanya.

Advertisement