Anda di sini

Surun Sinurambi Tambunan tekad terus berusaha

Advertisement
 Aksi pasukan Surun Sinurambi  Tambunan dalam pertandingan akhir menentang pasukan New Born dari Kota Marudu.
BERI SAINGAN: Aksi pasukan Surun Sinurambi  Tambunan dalam pertandingan akhir menentang pasukan New Born dari Kota Marudu.

TAMBUNAN: Walaupun gagal muncul sebagai juara dalam Kejohanan Tarik Tali Terbuka Sipitang baru-baru ini, namun tidak melemahkan semagat kepada pasukan Surun Sinurambi Tambunan untuk terus berusaha pada pertandingan akan datang.

Presiden Persatuan Tarik Tali Tambunan yang juga jurulatih pasukan itu, Norbert Rianius berkata, sasaran pasukan seterusnya ialah menyertai Pertandingan Tarik Tali Antarabangsa Limbang Sarawak pada 22-24 November ini.

“Menduduki naib juara dalam pertandingan di Sipitang akan memberikan semangat kepada pemain-pemain dalam pasukan untuk memperbaiki kelemahan menghadapi pertandingan di Sarawak,” katanya di sini.

Pertandingan yang diadakan sempena Festival Buah-Buahan Sipitang  dianjurkan oleh Pejabat Daerah Sipitang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah dan Persatuan Tarik Tali Daerah Sipitang (STOW).

Katanya, Surun  Sinurambi turut membawa pulang hadiah RM6,000, trofi dan buah-buahan. Juara dalam pertandingan itu New Born dari Kota Marudu membawa pulang RM8,000, trofi dan buah-buahan. 

KSTT Baradungal dari Ranau menduduki tempat kedua dengan hadiah RM4,000, trofi dan buah-buahan dan Thunderbeast dari Sipitang tempat keempat telah membawa pulang RM2,000, trofi dan buah-buahan.

Menurut beliau, empat kategori dipertandingkan pada kejohanan itu iaitu Terbuka, Outdoor, 680 kilogram dan Berkasut.

Norbert berkata, kedudukan pasukannya adalah lebih baik kerana terpaksa berhadapan dengan 12 pasukan lain tanpa pemain simpanan. 

Menarik tali sepenuh masa dalam pertandingan itu sehingga ke perlawanan akhir bukanlah mudah apatah lagi bermain tanpa pemain simpanan. 

Namun semua penarik tali mempunyai mental yang kuat dan tidak mengalami sebarang kecederaan berjaya hingga ke peringkat akhir dan menduduki tempat yang kedua.

Sebanyak 13 pasukan mengambil bahagian daripada Sabah, Sarawak dan Brunei terdiri Dangsanak Brunei, Pride BlackShark 101 Penjara Kota Kinabalu, Greenhead12 Limbang Sarawak, Belantak Sepitang, KB Bull Brother Brunei, Newborn  Kota Marudu, Thunder Beast Sepitang, Surun Sunduone Sinurambi Tambunan, Mix Interior Keningau,  Baraccuda  Kota Kinabalu, KSTT Baradungal Ranau, IndaJara Sepitang dan Kemabong Onsoi Tenom.

Katanya, walaupun pasukannya telah mengalahkan pasukan Baradungal dari Ranau pada peringkat separuh akhir namun kalah kepada pasukan New Born dari Kota Marudu di peringkat akhir.

 Norbert (berdiri depan) bersama-sama pemain-pemainnya selepas perlawanan akhir itu yang berkesudahan Surun Sinurambi Tambunan berkedudukan naib juara sementera juara New Born dari Kota Marudu.
HEBAT: Norbert (berdiri depan) bersama-sama pemain-pemainnya selepas perlawanan akhir itu yang berkesudahan Surun Sinurambi Tambunan berkedudukan naib juara sementera juara New Born dari Kota Marudu.

Beliau akan mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai Daerah membincangkan plan pembangunan sukan tarik tali daerah Tambunan termasuk mengadakan pertandingan sukan ini di daerah ini dalam masa yang terdekat.

Katanya, perkara sama juga akan diajukan kepada Timbalan Presiden KDM Malaysia, Justin Alip.

Norbert berkata, sepanjang 2019 ini, pasukan Surun Sinurambi Tambunan telah meraih juara sebanyak tiga kali dan naib juara sekali.

Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan kepada para pemain pasukan ini supaya tidak leka dalam persiapan latihan dalam menghadapi pertandingan-pertandingan sukan ini akan datang.

Advertisement