Anda di sini

SKA minta atlet berikan yang terbaik

  Herman (tujuh dari kiri di barisan tengah) bersama skuad karate Sabah yang akan bertanding pada Kejohanan Karate Kadet, Junior dan Bawah 21 (B21) Kebangsaan Persekutuan Karate Malaysia di Selangor penghujung minggu ini.
SEMANGAT:  Herman (tujuh dari kiri di barisan tengah) bersama skuad karate Sabah yang akan bertanding pada Kejohanan Karate Kadet, Junior dan Bawah 21 (B21) Kebangsaan Persekutuan Karate Malaysia di Selangor penghujung minggu ini.

KOTA KINABALU: Skuad  Sabah diingatkan untuk memberikan yang terbaik bagi merampas semula gelaran juara Kejohanan Karate Kadet, Junior dan Bawah 21 (B21) Kebangsaan Persekutuan Karate Malaysia di Selangor penghujung minggu ini.

Timbalan Presiden Persatuan Karate Sabah (SKA), Datuk Herman Tiongsoh berkata, mereka kena beri yang terbaik demi nama pasukan, SKA dan negeri.

"Tiada dua mengenai ini. Sebaik terpilih menganggotai pasukan, anda perlu beri yang terbaik kerana ia bukan mengenai anda lagi tetapi ia adalah demi pasukan, SKA dan negeri," katanya.

Herman berkata demikian semasa menyerahkan bendera Sabah kepada pasukan dalam Majlis Penyerahan Bendera Sabah Kepada Pasukan di Main Dojo, Likas, semalam.

Beliau juga mengingatkan agar atlet bertanding dengan semangat kesukanan tinggi dan utamakan disiplin sepanjang masa bagi menjaga nama baik negeri ini.

Edisi ke-29 kejohanan kebangsaan itu akan berlangsung di Stadium MPSJ, Serdang Jaya pada 13-15 September.

Sabah mensasarkan merampas semula gelaran juara yang dirangkulnya pada 2017 tetapi terlepas apabila hanya menduduki tempat kedua keseluruhan tahun lalu.

Persekutuan Karate Hayashi Ha Malaysia adalah juara keseluruhan tahun lalu tetapi hanya dengan kelebihan satu pingat emas berbanding Sabah.

Persekutuan Karate Hayashi Ha Malaysia merangkul lapan pingat emas, lima perak dan enam gangsa manakala Sabah menang tujuh emas, lima perak dan 11 gangsa.

Kali ini, Sabah menghantar kontinjen dengan kekuatan 40 karatekas yang terdiri daripada 24 lelaki dan 15 wanita yang akan diiringi Richard Ajak selaku pengurus pasukan dan lima jurulatih iaitu Farlin Frederick, Elreno Zeru, Mohd Azreen, Danny Fredoline dan Andy Angkangon.