Anda di sini

Sembilan agensi, pengusaha meterai MoC Konsortium Pelancongan Mulu

 Sim (lima kanan) menyerahkan perjanjian MoC kepada Chin sambil disaksikan Lee (tengah), Ting (empat kiri) serta wakil agensi dan pengusaha pelancongan yang lain.
TERMETERAI: Sim (lima kanan) menyerahkan perjanjian MoC kepada Chin sambil disaksikan Lee (tengah), Ting (empat kiri) serta wakil agensi dan pengusaha pelancongan yang lain.

MIRI: Sejumlah sembilan agensi dan pengusaha pelancongan di sini telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC) untuk Perjanjian Konsortium Pelancongan Mulu di Hotel Pullman Miri Waterfront, petang semalam.

Sembilan agensi dan pengusaha pelancongan terbabit ialah Brighton Travel & Tour Sdn Bhd, Transworld Services Sdn Bhd, Majestic Leisure & Tours Sdn Bhd, William Travel Sdn Bhd, FT Travel Services Sdn Bhd, KKM Travel & Tours Sdn Bhd, Borneo Touch Ecotour Sdn Bhd, Minda Nusantara Tour & Travel Agencies Sdn Bhd dan Happy Trails Borneo Tours Sdn Bhd.

Majlis menandatangani MoC tersebut disaksikan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting serta ahli Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Albert Sim.

Pada majlis itu, Sim yang mewakili sembilan agensi dan pengusaha terbabit menyerahkan dokumen MoC berkenaan kepada MASwings Sdn Bhd yang diterima Eksekutif Jualan MASwings Sdn Bhd Veronica Chin.

Menurut Sim, antara objektif agensi pelancongan yang terlibat sama membentuk konsortium terbabit adalah untuk mempromosikan pakej pelancongan di Taman Negara Mulu dan bandar raya Miri.

Katanya, pakej-pakej yang dipromosikan turut dijual dengan harga menarik dan membolehkan para pelanggan turut mendapat hadiah menarik yang disokong MASwings Sdn Bhd dan Mulu Marriot Resort & Spa.

Sementara itu, Lee dalam ucapannya berkata, beliau gembira dengan maklum balas daripada agensi dan pengusaha pelancongan di sini yang telah menyahut seruannya bagi membentuk konsortium pelancongan untuk manfaat bersama dalam industri pelancongan.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu, usaha sedemikian membolehkan mereka bekerjasama dalam menawarkan kadar tambang yang lebih baik di samping menggalakkan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara melawat Taman Negara Mulu selain Miri.

“Melalui MoC ini, agensi dan pengusaha pelancongan yang terlibat boleh menjual pakej Mulu termasuk tiket penerbangan dan penginapan sebanyak 20 peratus lebih murah daripada sebelumnya.

“Pada masa sama, diharapkan kerjasama sebegini juga dapat dilakukan untuk pakej pelancongan lain di sini,” tambahnya.

Turut berkongsi pendapat yang sama, Ting yang juga ADUN Piasau berkata, kerjasama sedemikian perlu dilanjutkan bagi pakej-pakej pelancongan yang lain di sini.

Katanya, dengan menyediakan kerjasama yang sama untuk pakej pelancongan lain dapat meningkatkan lagi sektor pelancongan khasnya di Miri.

“Kita telah berbincang dengan pengusaha hotel di sini dan difahamkan bahawa jumlah mereka yang menginap di hotel sekitar Miri agak rendah pada Februari dan Mac.

“Oleh itu, kita perlu mencari usaha bagi menyediakan pelbagai aktiviti atau program menarik bagi membantu meningkatkan industri pelancongan di sini, di samping membantu menambah jumlah pelanggan yang menginap di hotel-hotel Miri,” ujarnya.