Anda di sini

Sarawak perlu miliki fasiliti menembak ‘skeet’ dan ‘trap’

Advertisement
 (Dari kanan) Radzinsk, Justin dan Lim bergambar bersama Ong selepas majlis penyampaian hadiah.
BIDIK EMAS: (Dari kanan) Radzinsk, Justin dan Lim bergambar bersama Ong selepas majlis penyampaian hadiah.

KUCHING: Sarawak perlu memiliki fasiliti menembak ‘skeet’ dan ‘trap’, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee.

Beliau berkata, dua fasiliti tersebut sangat penting untuk membangunkan sukan menembak di Sarawak.

Beliau juga melihat keperluan untuk melengkapkan Lapang Sasar Sarawak, Petra Jaya dengan sistem pemarkahan dan masa secara digital.

“Ketika ini, sistem pemarkahan dan masa dilakukan secara manual. Kita tidak sabar untuk melihat fasiliti tersebut dinaiktaraf satu hari kelak,” katanya semasa majlis perasmian Kejohanan Menembak Remaja Malaysia Sports Excel/NSC/Milo/NSAM Kedua, Trofi Tun Hanif 2019 di Lapang Sasar Sarawak, Petra Jaya kelmarin.

Menurut Ong, beliau akan menghantar cadangan kepada kerajaan negeri mengenai perkara tersebut.

Presiden Persatuan Menembak Sarawak (SAS) Datuk Abang Abdul Wahap Julai turut senada dengan Ong agar Lapang Sasar Sarawak dinaiktaraf untuk menjadikannya salah satu fasiliti menembak terbaik di negara ini.

Sekali gus, ia tegasnya membuka peluang kepada Sarawak untuk menganjur kejohanan menembak di peringkat antarabangsa yang akan menjadi pendedahan berguna kepada penembak tempatan khususnya atlet muda.

Seramai 250 peserta mewakili 16 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan berlangsung dari 10 hingga 15 September ini.

Pasukan tersebut ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak, Perak, Sabah, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Melaka, Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

Sementara itu, trio penembak remaja Sarawak, Lim Hong Yang, Justin Joannes Kelukin dan Radzinski Mathew membidik pingat emas acara 10m Air Pistol Remaja Lelaki selepas mencatat skor tertinggi 1658 semalam.

Perak dirangkul pasukan Johor dengan skor 1634 manakala pasukan Perak meraih gangsa dengan skor 1629.

Tuan rumah turut menggondol pingat emas dalam acara 50m Rifle 3 Positions Remaja Lelaki menerusi gandingan Muhammad Nur Zulfiqar Mohd Zulkifli, Ryan Chang Kai Boon dan Mujaid Ahmad yang mengumpul skor sebanyak 3144.

Saingan akan bersambung semula hari ini.

Advertisement