Anda di sini

Ronaldo ledak 4 gol bantu Portugal ‘ratah’ Lithuania 5-1

Advertisement
  Ronaldo (tengah) dikerumuni oleh rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua Protugal pada aksi di Vilnius, Lithuania Selasa lepas. — Gambar AFP
TIADA TANDINGAN: Ronaldo (tengah) dikerumuni oleh rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua Protugal pada aksi di Vilnius, Lithuania Selasa lepas. — Gambar AFP

VILNIUS, Lithuania: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, menambah koleksi gol antarabangsa beliau kepada 93 apabila menjaringkan empat gol untuk membantu juara Eropah itu menang 5-1 di Lithuania pada perlawanan kelayakan Euro 2020 Selasa lepas.

Bermain perlawanan ke-161 bersama Portugal, penyerang berusia 34 tahun itu menjaringkan hatrik kelapan beliau untuk negaranya dan yang ke-54 dalam kariernya untuk membantu Portugal mengharungi apa yang hampir mengancam menjadi malam yang mengecewakan.

Pemain tengah, William Carvalho, melengkapkan jaringan pada minit kecederaan ketika Portugal kekal di tangga kedua Kumpulan B dengan lapan mata, lima mata di belakang pendahulu kumpulan Ukraine tetapi dengan kurang satu perlawanan.

Serbia kurang satu lagi mata di tangga ketiga selepas menang 3-1 di Luxemburg.

“Saya menjaringkan satu gol ketika menentang Serbia dan empat gol malam ini dan apa yang saya mahukan ialah untuk meneruskan rentak ini,” kata Ronaldo, yang menyempurnakan penalti awal dan menambah tiga lagi gol dalam separuh masa kedua.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos, berkata: “Ronaldo adalah pemain terbaik di dunia, ia sangat jelas dan bukti yang tidak dapat dinafikan.”

Lithuania, di tangga  terbawah kumpulan dengan hanya satu mata, terlepas peluang awal apabila Vykintas Slivka gagal menyempurnakan peluang dari jarak dekat dan mereka menerima padah tidak lama selepas itu apabila Markus Palionis terpegang bola dari hantaran Joao Felix, membolehkan Ronaldo membuka jaringan dari tendangan penalti minit kelima.

Penjaga gol Lithuania, Ernestas Setkus beraksi tangkas menepis bola yang terkena rakan sepasukannya, Edvinas Girdvainis dari memasuki pintu golnya sendiri sebelum Vytautas Andriuskevicius mengikat kedudukan dari satu tendangan sudut pada minit ke-28.

Ronaldo kemudian mengumpan bola kepada Felix dan Bernardo Silva tetapi gagal disempurnakan dengan baik sebelum beliau sendiri membuat keputusan untuk menamatkan saingan lawan.

Ronaldo menjaringkan gol kedua Portugal pada minit ke-62 sebelum melengkapkan hatrik 11 minit kemudian.

Carvalho melengkapkan jaringan pada minit akhir.

Di Luxemburg, Aleksandar Mitrovic menjaringkan dua gol untuk menghidupkan kelayakan Serbia. Beliau membuka jaringan pada minit ke-36 sebelum Nemanja Radonjic menjaringkan gol kedua 10 minit selepas rehat.

Pemain gantian, David Turpel, merapatkan kedudukan buat Luxemburg dan ketika pasukan tuan rumah mengintai gol penyamaan, Sergej Milinkovic-Savic menjaringkan gol ketiga Serbia. — Reuters

Advertisement