Anda di sini

Realisasi impian teroka industri minyak, gas

Advertisement
 Abang Johari menandatangani plak Upacara Pecah Tanah Projek Loji Methanol sambil disaksikan Abdul Aziz, Awang Tengah, Asfia (kiri), Manyin, Dr Rundi, Talib (kanan) serta ahli-ahli lembaga pengarah Sarawak Petchem Sdn Bhd.
SIMBOLIK: Abang Johari menandatangani plak Upacara Pecah Tanah Projek Loji Methanol sambil disaksikan Abdul Aziz, Awang Tengah, Asfia (kiri), Manyin, Dr Rundi, Talib (kanan) serta ahli-ahli lembaga pengarah Sarawak Petchem Sdn Bhd.

BINTULU: Sarawak bukan sahaja memasuki negeri perindustrian yang semakin berkembang melalui pengwujudan loji methanol pertamanya, bahkan merealisasikan impiannya untuk meneroka sendiri industri minyak dan gas terutama sektor petrokimia hiliran.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha Sarawak Petchem untuk membangun industri ini amat dialu-alukan memandangkan kita telah menetapkan arah untuk lebih banyak aktiviti hiliran dibangunkan dalam sektor industri minyak dan gas di Sarawak.

Katanya, Sarawak berhasrat mencapai negeri maju menjelang 2030, justeru kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seluruh jenteranya bersama sektor swasta menggerakkan usaha untuk memastikan Sarawak mencapai status negeri maju seperti yang disasarkan.

“Pertumbuhan ekonomi Sarawak dipacu sebahagiannya oleh industri minyak dan gas.

Saya yakin perniagaan nilai tambah hiliran menerusi pembangunan industri petrokimia akan menjadi enjin utama pertumbuhan ekonomi Sarawak untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” ujarnya ketika berucap merasmikan Upacara Pecah Tanah Projek Loji Methanol di Similajau Tanjung Kidurong dekat sini, semalam.

Abang Johari berkata, Sarawak akan mampu menarik pelabur hiliran dalam sektor industri minyak dan gas yang memberi negeri ini rekod baik dalam pelaburan langsung asing (FDI).

“Sarawak mampu menarik sekitar RM30 bilion dalam pelaburan sejak penubuhan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak(SCORE) sekali gus membuktikan kita berupaya meneroka industri minyak dan gas,” tambahnya.

Ujarnya, untuk merealisasikan objektif ini kerajaan turut memfokus kepada pembangunan hiliran yang mana satu daripada kunci sektor ekonomi untuk ekonomi negeri ialah minyak dan gas serta dikenal pasti sebagai satu daripada 10 industri utama dalam SCORE.

Jelasnya, Sarawak dilaporkan memegang syer terbesar dalam baki simpanan gas Malaysia iaitu 54 peratus dan satu pertiga baki simpangan minyak negara iaitu 29 peratus.

Menurutnya, pada masa ini ekonomi negeri ini adalah ketiga terbesar di negara ini selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mana pada 2018 Keluaran Dalam Negeri Kasar(KDNK) adalah RM129.7 bilion.

Katanya untuk mengembangkan ekonomi negeri ini dengan lebih meluas, kita perlu meningkatkan aktiviti nilai tambah dalam semua sektor ekonomi dan ia dapat dilakukan menerusi industrialisasi dengan mengangkat aktiviti nilai tambah tinggi, mengambil alih inisiatif pertumbuhan produktiviti dan mengguna pakai teknologi maju.

“Kita mahu memaksimumkan sumbangan sektor minyak dan gas kepada ekonomi negeri dan ke arah itu, Bintulu akan menjadi satu lagi hab petrokimia di Malaysia dengan menarik industri petrokimia membangunkan loji mereka di Sarawak.

“Untuk melakukan ini, kita akan terlibat dalam pembangunan produk hiliran nilai tambah tinggi industri minyak dan gas seperti produk khusus dan bahan kimia halus,”jelasnya.

Abang Johari berkata pembinaan loji ini akan membuka peluang pekerjaan dalam kejuruteraan, juruteknikal, operator dan pakar khusus operasi loji dengan pembinaannya bermula pada suku pertama 2020 akan dilakukan oleh 4,000 pekerja dan akan dikendali 300 kakitangan semasa loji itu beroperasi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengerusi Sarawak Petchem Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.

  • oleh
  • Advertisement