
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan kembali status negeri ini seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu penting kerana ia adalah janji yang diberikan Pakatan Harapan (PH) kepada Sabah dan Sarawak ketika sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
"Antara agenda utama yang dibincangkan bersama bersama PH ketika itu adalah sekiranya menang dalam pilihan raya, Kerajaan Persekutan berjanji akan membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
"Persetujuan itu adalah mandatori untuk memenuhi janji yang diberikan seperti desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak, meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, meningkatkan ekonomi negeri dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam kalangan belia, dan banyak lagi," katanya ketika merasmikan Seminar Strengthening and Restructuring The Critical and Core Institutions of Democracy in Malaysia from The Perspective of Sabah, di sini.
Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong.
Shafie berkata, Sabah kini diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) turut mempunyai cara tersendiri dalam memperjuangkan hak negeri ini dalam MA63 dan tuntutan hak rakyat negeri ini akan terus dilakukan.
Katanya, agak menyedihkan Kerajaan Persekutan gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 9 April lalu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Malaysia baharu yang dipilih rakyat pada pilihan raya lalu mempunyai harapan tinggi daripada rakyat pelbagai peringkat.
Katanya, pelbagai perubahan telah dilakukan dalam institusi-institusi demokrasi utama negara ini bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan lancar.
"Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Beebi Koya dalam sidang medianya menegaskan SPRM tidak lagi akan digunakan sebagai alat politik.
"Institusi seperti SPRM inilah digunakan oleh kerajaan BN-UMNO sebelum ini untuk menentang para pemimpin Parti termasuk Warisan pada musim pilihan raya umum lalu," katanya.
Katanya, dengan kerajaan baharu negara ini, harapan daripada rakyat adalah tinggi agar semua institusi pentadbiran utama Malaysia dapat menjalankan tanggungjawab asal masing-masing.
Selain itu, tambahnya, penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti rasuah Nasional (GIACC) adalah satu instrumen penting kepada kerajaan dalam memastikan amalan pentadbiran negara sentiasa telus.
"GIACC juga melancarkan Pelan Anti rasuah Nasional (NCAP) 2019-2023 yang mengandungi inisiatif menentang aktiviti rasuah serta inisiatif lain yang penting," katanya.
Menurutnya, selepas PH memerintah, media juga bebas membuat laporan berita berdasarkan fakta. Media arus perdana kini tidak lagi perlu menunggu arahan daripada Putrajaya sama ada sesuatu isu itu perlu atau tidak untuk dilaporkan.