Anda di sini

Pelayaran R4W Odyssey bawa misi kesedaran isu plastik sampah

Advertisement
 Kapal katamaran yang digunakan R4W Odyssey berlabuh di Sutera Harbour Resort untuk melaksanakan misi di negeri ini.
SINGGAH: Kapal katamaran yang digunakan R4W Odyssey berlabuh di Sutera Harbour Resort untuk melaksanakan misi di negeri ini.

KOTA KINABALU: Pelayaran pasukan Race for Water (R4W) Odyssey bawa misi tingkat kesedaran isu pencemaran plastik ke seluruh dunia.

Dengan menyasarkan 35 lokasi persinggahan seluruh dunia termasuk negeri Sabah, R4W Odyssey mahu misi yang dilaksanakan berjaya mencapai matlamat yang disasarkan.

Pengurus Projek R4W Odyssey (Plastic Waste to Energy) Camille Rollin berkata, misi pelayaran dengan kapal katamaran yang hanya menggunakan tenaga solar itu bermula pada 2017 hingga 2021.

Katanya, selain memberi kesedaran berkaitan bahaya plastik yang hanyut di laut terhadap hidupan marin dan manusia, pihaknya turut memperkenalkan penyelesaian untuk menukar plastik kepada tenaga melalui teknologi yang mereka hasilkan.

"Masyarakat perlu dididik untuk mengamalkan pengurusan sisa buangan dengan lebih baik.

"Justeru, kami mahu masyarakat membudayakan amalan memungut sampah supaya ia dapat digunakan untuk menjana tenaga elektrik.

"Teknologi yang kami perkenalkan boleh menjimatkan penggunaan diesel hampir sejuta liter bagi setiap satu mesin," jelasnya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun setiap mesin berkenaan hampir mencecah nilai USD4 juta namun usaha itu adalah satu pelaburan jangka panjang yang mampu membantu dalam pembangunan mampan.

Camille berkata, Sabah menghasilkan sisa buangan plastik sekitar 200,000 tan setiap hari.

Sehubungan itu, katanya, jika isu berkenaan tidak diurus dengan baik, keadaan itu akan mendatangkan masalah kepada masyarakat setempat.

Dalam pada itu, sepanjang berada di Sabah, pihaknya turut berkesempatan mengadakan beberapa aktiviti bersama masyarakat sekitar bandaraya termasuklah lawatan pelajar sekolah ke kapal R4W Odyssey dan program di Pulau Gaya.

Menurutnya, Pulau Gaya mempunyai populasi penduduk yang semakin berkembang tetapi tidak mempunyai pengurusan sisa buangan dan semua sampah masuk ke dalam lautan.

 Pelajar sekolah turut diberi pelaung melawat kapal R4W Odyssey.
LAWATAN: Pelajar sekolah turut diberi pelaung melawat kapal R4W Odyssey.

Beliau berkata, disebabkan kekurangan kesedaran dan pendidikan, penduduk di pulau itu tidak sedar tindakan dan amalan membuang sampah itu memberi impak terutama masalah kesihatan kepada mereka.

Selain itu, hasil pertemuan dengan 25 wakil kerajaan, pihak berkenaan menunjukkan minat dengan teknologi yang diperkenalkan oleh R4W Odyssey.

R4W Odyssey adalah sebuah yayasan memelihara sumber air khususnya lautan yang berpangkalan di Switzerland.

Misi pelayaran mereka akan diteruskan ke Pulau Palawan Filipina, China, Jepun dan Singapura sebelum meneruskan pelayaran ke Asia Tengah seperti India dan Laut Merah.

  • oleh
  • Advertisement