Anda di sini

OKU bukan penghalang untuk Herman menjadi tutor bahasa isyarat

Advertisement
 Herman (tengah) menerima hadiah  RM5,000, trofi dan sijil penghargaan daripada tetamu kehormat, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
BANGGA: Herman (tengah) menerima hadiah RM5,000, trofi dan sijil penghargaan daripada tetamu kehormat, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

KUALA LUMPUR: Walaupun lahir sebagai orang kurang upaya (OKU), namun ianya bukanlah  penghalang kepada Md Herman Saidin untuk menjadi tutor bahasa isyarat pertama dan tunggal di Labuan.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Herman, merupakan anak jati Labuan ini tersenyum dan bangga apabila usahanya selama 28 tahun mendidik anak-anak OKU yang lain terbalas selepas menerima Anugerah MyHero 3.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya tidak menyangka perjuangan selama 28 tahun membuat kerja amal serta membantu anak-anak orang kurang upaya (OKU) diiktiraf sehingga memperoleh penghormatan ini.

“Saya sendiri OKU pendengaran dan saya bertekad mahu membantu anak-anak OKU pekak di Labuan dengan mengajar mereka bahasa isyarat yang ‘standard’ supaya lebih mudah untuk mereka berkomunikasi dan mencari kerja.

“Setakat ini seramai 20 anak Labuan sudah saya bantu dan ada di antara mereka sudah mendapat pekerjaan,” katanya.

Menurut Herman, beliau sering memberi khidmat bahasa isyarat dan mengambil berat terhadap keperluan OKU yang mempunyai masalah pendengaran sepertinya kerana beliau percaya penggunaan bahasa isyarat adalah amat penting supaya OKU dapat berhubung dan berkomunikasi dengan masyarakat umum.

Selain menubuhkan persatuan OKU pekak dan bisu di Labuan, beliau kini giat dalam penubuhan sebuah pusat latihan dan pendidikan untuk mereka yang cacat pendengaran.

Herman merupakan salah seorang daripada penerima Anugerah MyHero 3.0 yang telah berlangsung di Dewan Seng Peng, Wisma Chinese Chamber, semalam.

Melalui pengiktirafan ini, Herman telah menerima hadiah RM5,000, trofi dan sijil penghargaan. Pada masa sama, beliau turut dilantik menjadi Duta Perpaduan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Penerima Anugerah MyHero merupakan wira atau wirawati yang tidak didendangkan dan tidak pernah menerima pengiktirafan daripada mana-mana badan. Mereka membantu, berkorban dan memberi sumbangan tanpa mengambil kira perbezaan kaum, agama dan budaya.

Advertisement