Anda di sini

Miri sasar jadi pusat persidangan perniagaan antarabangsa

Advertisement
 Abdul Karim (dua kanan) bersama Sebastian dan Lee merasmikan Business Events Consortium of Miri (BECoM) di Miri semalam.
SELESAI: Abdul Karim (dua kanan) bersama Sebastian dan Lee merasmikan Business Events Consortium of Miri (BECoM) di Miri semalam.

MIRI: Kedudukan geografi Miri yang strategik berhampiran negara jiran serta prasarana yang lengkap menyerlahkan lagi potensi bandar raya itu sebagai pusat persidangan perniagaan antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Hamzah berkata, pelawat bukan hanya menghadiri persidangan tetapi juga ingin mengenali lebih dekat produk pelancongan di Sarawak.

“Sehingga Januari lalu, Sarawak telah menerima lebih 17,000 delegasi dari seluruh negara menghadiri 39 persidangan membabitkan kesihatan, sukan, kebudayaan, robotik, kewangan dan sebagainya.

“Kehadiran delegasi ini memberi impak positif dalam menjana pertumbuhan ekonomi khasnya dari sudut pelancongan,” katanya ketika merasmikan Business Events Consortium of Miri (BECoM) di sini, semalam.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, bagi Miri sudah pasti sesuatu boleh ditawarkan untuk menjadikannya sebagai pilihan penganjuran persidangan atau acara antarabangsa.

“Kemudahan penginapan atau hotel, faktor keselamatan, kestabilan politik serta kawasan pelancongan yang menarik mampu ditawarkan kepada pelawat,” jelasnya.

Menurutnya, delegasi tidak hanya hadir pada persidangan tetapi ada di kalangan mereka tinggal lebih lama untuk melawat tempat-tempat menarik di negeri ini.

Sebagai contoh Sarawak katanya, akan menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Master Dunia 2019 dan Kejohanan Olahraga Master Asia 2019.

Kedua-dua kejohanan itu sekurang-kurangnya akan dihadiri lebih 2,000 atlet sekali gus mampu menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak.

“Atlet ini akan membawa bersama ahli keluarga mereka untuk tinggal lebih lama dan menikmati aktiviti kebudayaan dan khazanah semula jadi,” ujarnya.

Miri menurutnya mempunyai kemudahan hospitaliti setanding Kuching dan sudah pasti menjadi lokasi pilihan untuk penganjuran persidangan atau acara antarabangsa yang pelbagai.

“Pembentukan BECoM akan membantu menyerlahkan lagi potens  dan usaha menjadikan Miri sebagai destinasi pelancongan utama,” ujarnya.

Abdul Karim juga menyambut baik inisiatif Business Events Sarawak (BESarawak) menganjurkan persidangan di bandar-bandar besar Sarawak.

Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Ketua Pegawai Operasi BESarawak Ameliza Roziman dan Pengerusi BECoM Kauselor Warziedea Ahmad.

Advertisement