Anda di sini

Lelaki berkelakuan tidak senonoh, takutkan anggota polis ditangkap

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana berkelakuan tidak senonoh dan menakutkan seorang anggota polis bertugas diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tiga hari.     

Suspek, 35, dari Limbang diperintahkan menjalani reman itu di Balai Polis Pusat Miri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.    

Menurut keterangan pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Kamel Sulaiman @ Ibrahim ketika mengemukakan permohonan reman memberitahu bahawa suspek telah ditangkap sekitar jam 11.45 pagi, 9 September lalu di kaunter aduan Balai Polis Pusat Miri.   

Tangkapan ke atas suspek dibuat setelah berkelakuan tidak senonoh dan menakutkan seorang anggota polis berpangkat sarjan yang sedang bertugas dengan cuba memukul anggota terbabit menggunakan sebatang kayu bersalut paip getah.   

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebatang kayu bersalut paip getah dari milik suspek yang bertindak agresif untuk dijadikan barang kes.   

Dalam permohonan lanjutnya Kamel berkata, reman empat hari ke atas suspek diperlukan untuk membolehkan polis menyiasat punca suspek mengamuk dan bertindak tidak senonoh.  

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk menentukan taraf kewarganegaraan suspek memandangkan semasa ditangkap suspek tidak memiliki kad pengenalan diri.   

Mahkamah membenarkan reman tiga hari ke atas suspek sehingga 13 September ini.

Advertisement