Anda di sini

Laluan pelengkap Jalan Kapit-Song dijangka siap awal

Advertisement
 Masing (dua kanan) mendengar taklimat daripada Cassidy (kiri) semasa melakukan tinjauan pembinaan jalan berkenaan.
TURUN PADANG: Masing (dua kanan) mendengar taklimat daripada Cassidy (kiri) semasa melakukan tinjauan pembinaan jalan berkenaan.

SONG: Laluan pelengkap sepanjang 9.6 kilometer (km) dari Nanga Ngungun ke Nanga Temalat di Song kemungkinan besar dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, dengan siapnya jalan tersebut Kapit, Song dan Kanowit akan dihubungkan dengan jalan berturap ke kawasan lain di negeri ini.

Katanya tarikh akhir penyiapan jalan raya adalah pada Ogos 2020.

“Berdasarkan perkem-bangan terkini, kami diberitahu oleh kontraktor bahawa jalan itu dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.

“Apa pun, sebelum ia siap dengan sempurna, orang ramai tidak dibenarkan menggunakan jalan raya kerana dikhuatiri mengganggu kerja-kerja pembinaan.

“Sebab itulah di kawasan tertentu mereka menghentikan kerja-kerja terdahulu sementara mereka meneruskan pembinaan di bahagian lain jalan raya terbabit,” katanya semalam.

Terdahulu beliau meninjau projek pembinanaan laluan pelengkap Ngungun ke Nanga Temalat di sini.

Masing berkata demikian berdasarkan pengalaman semasa pembinaan Jalan Kapit-Song pada masa lalu.

Bercakap lanjut Masing memberitahu, apabila luluan tersebut telah dihubungkan orang ramai boleh memandu dari Kuching ke Kapit menggunakan jalan raya yang berturap.

“Orang di Kapit tidak akan terasing lagi. Persoalannya ialah bagaimana orang ramai memanfaatkan kemudahan jalan raya tersebut,” jelasnya.

Mengenai jalan raya sepanjang 5.1km Ngemah-Ngungun, Masing berkata projek bernilai RM50 juta tersebut kini dalam proses tender.

“Projek ini akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dari tarikh penganugerahan tender.

“Ia termasuk membina jambatan menyeberangi Sungai Ngemah,” katanya.

Laluan Ngemah-Temalat dan Ngemah-Ngungun adalah sebahagian daripada projek Jalan Kanowit-Song-Kapit sepanjang 86km yang bernilai lebih RM700 juta.

Turut hadir Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi, Pengurus Wilayah Tengah Jabatan Kerja Raya (JKR) Cassidy Morris dan ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat.

  • oleh
  • Advertisement