Anda di sini

KKMM pandang serius wartawan terima ugutan bunuh: Eddin

Advertisement

KUALA PILAH: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memandang serius laporan mengenai seorang wartawan Berita Harian (BH) yang menerima ugutan bunuh ekoran pendedahan berita yang dibuatnya beberapa hari lepas.

Timbalan Menteri berkenaan, Eddin Syazlee Shith berkata, pihaknya begitu terkesan mengenai laporan itu selain menegaskan kementeriannya sangat mengambil berat perkara yang membabitkan pengamal media di negara ini terutama soal kebajikan.

“Bagi Kementerian sudah tentu perkara itu (ugutan) sesuatu yang amat serius kerana ia melibatkan keselamatan dan kami yakin polis sedang melakukan siasatan secara terperinci mengenainya.

“Kami (kementerian) sentiasa memberikan kerjasama kepada polis terutamanya dalam membantu mengesan pemilik akaun (email) itu agar siasatan mengenainya segera diselesaikan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati Negeri Sembilan 2019 di sini hari ini.

Baru-baru ini, pihak pengurusan BH mengesahkan seorang daripada wartawannya menerima ugutan bunuh, susulan satu laporan pendedahan yang dibuat akhbar terbabit.

Dalam pada itu, Eddin Syazlee turut meminta semua pengamal media melaporkan perkara seumpama itu pada kementeriannya agar tindakan segera dapat dilakukan bersama pihak berkuasa.

Katanya, kerajaan dalam pertimbangan untuk mewujudkan Majlis Media Kebangsaan yang bertujuan memberi kebebasan kepada media dalam menyalurkan sesuatu maklumat.

“Kami mahu amalan kebebasan media itu benar-benar terlaksana di negara kita. Tetapi dalam kebebasan itu pengamal media mempunyai etika yang baik, tahu tanggungjawab dan sempadan yang diberikan dalam mengamalkan kerja yang dilakukan.

“Bagaimanapun, kementerian juga akan memberikan jaminan agar mereka tidak berasa terancam dalam melaksanakan tanggungjawab dan menggunakan kebebasan media sebaiknya di negara ini,” katanya. — Bernama

Advertisement