Anda di sini

Kerinduan pada ibu bapa

Advertisement
MOHAMMAD AMIRRUL
MOHAMMAD AMIRRUL

MIRI: Salah seorang mangsa yang hilang di laut ketika memancing di perairan Pulau Sari, Lawas, Mohammad Amirrul Bakar, 26, sempat menyatakan rindu pada ibu bapanya tiga hari sebelum kejadian terbabit.

Menurut kakaknya Nurhafieza Bakar, 28, kerinduan itu diluahkan Mohammad Amirrul melalui hantaran WhatsApp kumpulan keluarganya.

“Kami berkata kepadanya, jika rindu mintalah cuti dan balik ke Miri, namun atas tanggungjawab dan tuntutan kerja, Mohammad Amirrul belum lagi dapat bercuti, malah turut bertugas pada hujung minggu.

“Malam sehari sebelum kejadian ini berlaku, Mohammad Amirrul ada memaklumkan dalam WhatsApp kumpulan keluarga berkenaan rancangannya untuk ke laut keesokan paginya,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo melalui aplikasi Messenger, semalam.

Mohammad Amirrul yang berasal dari Miri sudah lebih setahun berkhidmat di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lawas.

Selain itu, Nurhafieza turut menyifatkan adiknya sebagai seorang yang sentiasa mengutamakan keluarga.

“Adik saya ini memang jenis lelaki yang mengutamakan keluarga terutamanya ibu bapa kami, malah dia begitu rapat dengan mak.

“Mohammad Amirrul ini memang suka ‘ngail’ (memancing), asal ada masa terluang saja memang akan pergi memancing,” ujar beliau.

Nurhafieza berkata, tarikh kejadian pada 9 September itu juga menandakan setahun usia pertunangan Mohammad Amirrul bersama gadis pilihannya.

Difahamkan, Nurhafieza turut berada di Kampung Punang, Lawas bagi mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua semalam.

“Alhamdulillah, ramai orang membantu mencarinya, penduduk kampung pun memang dah kenal lama dengannya di Lawas,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang di laut berjaya menemui mayat mangsa kedua yang terapung di persisiran pantai Pulau Sari Besar, Lawas malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman berkata, mayat kedua dikenal pasti sebagai Farouk Arlan Ahmad Sabri, 29, dari Taman Pelabuhan Melor, Tanjung Kidurong, Bintulu.

“Mangsa kedua ditemui kira-kira jam 11.30 malam pada jarak lebih kurang 450 meter daripada lokasi penemuan mayat pertama.

“Mangsa bekerja sebagai juruteknik Telekom Malaysia Cawangan Lawas, sudah berkahwin serta mempunyai dua anak,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Pencarian mangsa terbabit dilakukan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Punang bersama 16 penduduk kampung, selain dibantu 19 orang dari agensi kastam Limbang, Lawas dan Labuan.

Sementara itu, Roslan berkata Polis Marin menemui satu mayat di kawasan SAR sekitar jam 6 petang semalam di perairan ke arah Labuan.

Menurut beliau, mayat tersebut belum dikenal pasti sama ada mangsa ketiga yang hilang dalam insiden itu.

“Pengecaman oleh keluarga tadi (petang semalam) tidak dapat dilakukan. Pengecaman kali kedua akan dilakukan esok (hari ini) di rumah mayat Hospital Lawas,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement