Anda di sini

Jentera serangan berbisa bantu England elak ‘malapetaka’

  Sancho (kanan) menyaksikan bola rembatannya melepasi penjaga gol Kosovo sebelum menerjah jaring  pada perlawanan di St Mary’s Stadium, Southampton Selasa lepas. — Gambar AFP
GOL ANTARABANGSA SULUNG: Sancho (kanan) menyaksikan bola rembatannya melepasi penjaga gol Kosovo sebelum menerjah jaring pada perlawanan di St Mary’s Stadium, Southampton Selasa lepas. — Gambar AFP

SOUTHAMPTON, England: Jurulatih England, Gareth Southgate, menegaskan pasukannya harus memperbaiki kesilapan di benteng pertahanan selepas terlepas dari satu “malapetaka” dengan aksi memberangsangkan di jentera serangan ketika menewaskan Kosovo 5-3 pada perlawanan kelayakan Euro 2020 Selasa lepas.

Jadon Sancho menjaringkan gol antarabangsa pertama beliau dan Harry Kane serta Raheem Sterling juga menjaringkan gol ketika England menjaringkan 19 gol dari empat perlawanan kelayakan setakat ini.

Bagaimanapun, ketajaman jentera serangan England sedikit terjejas dengan kesilapan dari gandingan pertahanan tengah, Michael Keane dan Harry Maguire apabila bolos tiga gol di tempat sendiri pada satu perlawanan kelayakan, kali pertama ia berlaku dalam 12 tahun.

“Satu perlawanan pelik,” kata Southgate. “Sememangnya ada kesilapan jelas di bahagian pertahanan tetapi saya benar-benar gembira dengan ketenangan yang kami tunjukkan.

“Kami memiliki jentera serangan berbisa dan kami menggunakan bola dengan sangat baik. Jentera serangan kami sememangnya bagus dan pertahanan kami sememangnya melakukan kesilapan ketara.”

Kosovo mempunyai rekod 15 perlawanan tanpa kalah sejak dua tahun lepas dan memulakan perlawanan dengan memberangsangkan untuk sebuah negara yang hanya diberikan keanggotaan badan bola sepak dunia (FIFA), tiga tahun lepas.

Hanya 35 saat selepas sepak mula, satu kesilapan oleh Keane membolehkan Valon Berisha menewaskan penjaga gol England, Jordan Pickford untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.

England bagaimanapun bangkit bergaya dengan aksi meyakinkan di jentera serangan dan bakal menjadikan mereka calon pilihan untuk muncul juara di Euro 2020 sebaik sahaja menjamin tempat ke kejohanan itu.

England kini berkelebihan tiga mata di tangga teratas Kumpulan A berbanding Republik Czech, yang menewaskan Montenegro 3-0 di tempat lawan.

Kosovo tercicir ke tangga ketiga, kurang empat mata di belakang.

England bermain kurang satu perlawanan dari semua pasukan lain dalam kumpulannya.

Sterling beraksi cemerlang tetapi pemain sayap kelab Manchester City itu menjaringkan gol keenam beliau dari enam perlawanan antarabangsa dengan satu tandukan dari jarak dekat, sebelum mengumpan bola kepada Kane untuk menambah jaringan.

Hantaran lintang Sancho kemudian terkena pemain Kosovo, Mergim Vojvoda dan masuk ke pintu golnya sendiri ketika England menjaringkan dua gol pantas sebelum rehat.

Sterling ternyata terlalu pantas untuk pertahanan Kosovo sebelum mengumpan bola kepada Sancho untuk menjaringkan gol pertamanya bersama England.

Seminit kemudian, Sancho menjaringkan gol kedua selepas menerima satu lagi umpanan Sterling.

“Saya berasa gembira untuk menjaringkan gol pertama saya bersama England,” kata Sancho.

“Ia perlawanan gila. Lima gol dan saya berasa gembira menjaringkan dua gol.”

Namun dengan ketajaman serangan England, ada kebimbangan di benteng pertahanan buat Southgate apabila membiarkan Kosovo merapatkan kedudukan pada awal separuh masa kedua.

Berisha menjaringkan gol kedua Kosovo sebelum Maguire, pemain pertahanan paling mahal di dunia, menjatuhkan Vedat Muriqi dalam kotak penalti, membolehkan Muriqi melakukan penyudah untuk gol ketiga. — AFP