Anda di sini

Gunalah media sosial dengan bijak dan berhemah

Advertisement
 (Tiga kiri) Dr. Md Farid menyampaikan sijil penghargaan media rasmi pada Pengurus Jualan Kanan See Hua Marketing Lionel Tiong yang mewakili akhbar Utusan Borneo dan Borneo Post.
MEDIA RASMI: (Tiga kiri) Dr. Md Farid menyampaikan sijil penghargaan media rasmi pada Pengurus Jualan Kanan See Hua Marketing Lionel Tiong yang mewakili akhbar Utusan Borneo dan Borneo Post.

KUALA LUMPUR:  Orang awam diseru menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah dalam menyebarkan atau berkongsi kisah-kisah positif yang boleh meningkatkan perpaduan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr. Md Farid Md Rafik berkata, melalui perkongsian sama ada menyebar atau berkongsi kisah-kisah positif perpaduan dapat menjadi aspirasi dan ikutan masyarakat terutamanya generasi muda.

“Pada masa ini, media sosial merupakan medium yang penting dalam kehidupan kita. Namun begitu, terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan media sosial dengan niat memecah belah perpaduan kaum dan menggugat keharmonian negara kita.

“Media juga seharusnya memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan mesej perpaduan. Kerjasama dan penglibatan media dalam pelbagai bahasa amat penting dalam mendidik perpaduan,” katanya berucap pada Majlis Anugerah MyHero 3.0, semalam.

Majlis yang berlangsung di Dewan Seng Peng, Wisma Chine Chamber ini telah dihadiri oleh 300 tetamu dengan tetamu kehormat, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang turut merasmikan Majlis Anugerah MyHero 3.0

 Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah MyHero 3.0.
JASAMU DIKENANG: Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah MyHero 3.0.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Tan Sri Ter Leong Yap, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah MyHero 3.0, Datuk Richard Lau Chi Chiang dan Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau, Chan Aun Kiang.

Objektif penganjuran majlis ini adalah untuk mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan individu-individu atas keberanian dan keazaman mereka. Jasa baik mereka telah menunjukkan sifat-sifat murni ke arah menyemarakkan perpaduan berbilang bangsa daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sebanyak 13 pencalonan yang telah berjaya ke peringkat akhir dan hanya lima  telah diiktiraf untuk menerima Anugerah MyHero 3.0 atas sumbangan mereka kepada masyarakat. Penerima anugerah tersebut ialah Jameyah Sheriff, Md. Herman Bin Saidin, Richard Wong Yew King, Norzah Ghani dan Cheah Kim Hock serta Rajendran a/l Velu.

Mereka telah menerima hadiah RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Menurut Dr. Md Farid, para penerima Anugerah MyHero ini dilantik menjadi Duta Perpaduan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

“Lantikan ini sekali gus memberi peluang kepada mereka berkongsi pengalaman dengan masyarakat melalui program-program jabatan agar memberi inspirasi dalam merapatkan lagi hubungan di antara kaum.

“Penerima Anugerah MyHero merupakan wira atau wirawati yang tidak didendangkan dan tidak pernah menerima pengiktirafan daripada mana-mana badan. Mereka ikhlas membantu, berkorban dan memberi sumbangan tanpa memberi perhatian terhadap perbezaan kaum, agama dan budaya,” katanya.

Dianjurkan bersama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCI) dan Nanyang Siang Pau, Anugerah MyHero diperkenalkan pada 2014. Anugerah MyHero pada tahun ini merupakan penganjuran untuk kali ketiga. Seramai 12 wira MyHero telah dinobat pada 2014 dan 2016.

Akhbar Utusan Borneo, See Hua Daily News, The Borneo Post, Orizon, Sinar Harian, The Sun dan Tamil Malar merupakan rakan media rasmi untuk anugerah Anugerah MyHero 3.0.

Latar belakang Anugerah MyHero adalah seperti berikut:

 Anugerah MyHero diperkenalkan pada 2014 bagi mengiktiraf dan meraikan wira dan wirawati tidak dicanang yang menabur bakti dalam memupuk perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.

 Anugerah MyHero merupakan program kerjasama antara Kuala Lumpur dan Selangor Chinses Chamber Industri (KLSCCCI) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)  dalam usaha untuk mengiktiraf dan menghargai individu yang telah banyak berkorban dan berjasa dalam usaha meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

 Seramai 27 pencalonan telah disenarai pendek dan hanya 6 calon sahaja dipilih sebagai pemenang oleh barisan juri pada setiap siri.

 MyHero 1.0 telah berjaya dianjurkan pada 2014 dan dimenangi oleh Hoo Tak Chow, Yap Toke Moey, Abdul Muhen Abdul Mohssin, Lee Yee Seng, pasangan Koh dan Winnie Yap Im Nee.

 Manakala MyHero 2.0 yang telah dianjurkan pada tahun 2016 telah dimenangi oleh Tan Bee Seng, Angela Devi Ariyan, Dr. Abdul Aziz Sahat, Hew Hock Peng, Ong Boo Siong dan Wong Siew Yin @ Dolly.

 Program ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan penyertaan perlulah menjelaskan tentang jasa seseorang serta butiran terperinci tentang diri calon berkenaan serta pengirimnya.

  • oleh
  • Advertisement