Anda di sini

Geng Afiq pencuri motosikal tumpas 

Advertisement
 Antara motosikal yang dirampas semasa penahanan lapan ahli kumpulan Geng Afiq.
RAMPASAN: Antara motosikal yang dirampas semasa penahanan lapan ahli kumpulan Geng Afiq.

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas lapan ahli kumpulan Geng Afiq yang giat menjalankan aktiviti mencuri motosikal di beberapa kawasan sekitar sini serta daerah lain termasuk Penampang dan Papar dalam beberapa serbuan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman berkata, kesemua suspek berumur 15 hingga 22 tahun terbabit ditahan bermula 5 hingga 7 September lalu.

"Maklumat awal diperolehi daripada seorang peniaga yang menyediakan perkhidmatan menyewa motosikal di Wisma Sabah mendapati salah sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran pejabatnya hilang pada 12 Julai lalu.

"Selepas kira-kira tiga hari mencari, mangsa kemudiannya membuat laporan polis berikutan gagal menemukan motosikal syarikat yang hilang itu," katanya.

George berkata, bertindak atas kejadian, pihaknya kemudian menubuhkan task force dan selepas kira-kira sebulan pasukan itu berjaya mengumpulkan maklumat berkaitan termasuk maklumat yang disalurkan oleh orang awam.

"Dua suspek utama kemudiannya berjaya ditahan di sebuah kawasan di sini pada 5 September dan hasil penangkapan itu kemudiannya membawa kepada penahanan empat lagi rakan sejenayah keesokan harinya di Penampang serta Papar.

"Hasil pendedahan dua siri tangkapan itu juga membawa kepada penangkapan dua lagi rakan sejenayah yang turut terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal," katanya.

Menurutnya, dengan tertangkapnya lapan ahli kumpulan itu, pihaknya berjaya merampas keseluruhan 13 motosikal termasuk 10 jenis EX5 dan selebihnya adalah jenama lainnya.

"Polis turut merampas sejumlah alat ganti motosikal yang sudah diasingkan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan mereka dan jumlah rampasan termasuk motosikal mencecah RM40 ribu.

"Motosikal EX5 juga dikesan adalah antara motosikal yang agak popular dalam kegiatan mereka berikutan ia dipercayai senang untuk dicuri selain alat ganti jenis motosikal ini mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan mereka," katanya.

Dalam pada itu, George berkata kumpulan itu dipercayai baru aktif menjalankan kegiatan curi motosikal pada awal tahun ini berdasarkan tahap umur suspek yang masih muda.

"Dua suspek dipercayai adalah dalang utama kumpulan ini manakala tangkapan yang lain adalah rakan sejenayah yang bertindak sebagai penjual alat ganti selain pelupus barangan yang dicuri.

"Kesemua suspek termasuk empat warga asing terbabit ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh didendan sehingga tujuh tahun penjara," katanya.

Beliau berkata, dengan tangkapan itu pihaknya sudah menyelesaikan 13 kes sekitar sini dan kawasan Penampang serta Papar.

Mana-mana orang awam yang kehilangan motosikal diminta datang ke IPD Kota Kinabalu untuk membuat pengecaman serta tuntutan motosikal yang dirampas.

  • oleh
  • Advertisement