Anda di sini

Festival Layang-layang Antarabangsa promosi Labuan

Advertisement
 Khalid (tiga kanan) menyampaikan cenderamata kepada A Rahim sambil diperhatikan Rozman, Amir (dua kanan) dan Fary (kanan) selepas merasmikan festival itu.
CENDERA KENANGAN: Khalid (tiga kanan) menyampaikan cenderamata kepada A Rahim sambil diperhatikan Rozman, Amir (dua kanan) dan Fary (kanan) selepas merasmikan festival itu.

LABUAN: Usaha mempromosikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai destinasi pilihan pelancong menjadi antara fokus utama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam meningkatkan jumlah pelancong dan memberikan manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, bagi memantapkan hala tuju sektor pelancongan, sebuah Majlis Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan pada tahun ini yang menjadi wadah pertemuan antara KWP dan agensi-agensi di bawahnya bersama wakil-wakil persatuan dan pemain industri.

"Dengan adanya majlis ini nanti, hubungan antara kerajaan dengan pemain industri akan berada dalam suasana harmoni.

"Apa jua usaha yang dilestarikan menerusi majlis ini tidaklah mempunyai niat selain memastikan industri pelancongan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini sentiasa berada pada aras yang membanggakan, khasnya dalam memberikan sumbangan kepada ekonomi negara," katanya semasa merasmikan Festival Layang-layang Antarabangsa Labuan Edisi Pertama, di sini, baru-baru ini.

Labuan sendiri, katanya, mempunyai potensi yang besar dalam industri pelancongan dan menyeru kepada penduduknya agar memanfaatkan perkara itu.

"Labuan menawarkan suasana cuaca yang sekata sepanjang tahun dan para pelancong yang berkunjung ke sini boleh menikmati keindahan pancaran suria di pantai serta pulau yang kebanyakan masih belum diusik sepenuhnya oleh pembangunan.

"Saya menyeru kepada penduduk Labuan untuk memanfaatkan sumber alam yang telah dikurniakan ini dengan sebaik-baiknya bukan sahaja sebagai tempat untuk kita tinggal malah turut mendatangkan hasil pendapatan," katanya. 

Dalam masa sama, Khalid turut menyeru kepada warga Labuan untuk sama-sama memastikan agar wilayah ini terus disenaraikan sebagai salah satu lokasi festival layang-layang di Malaysia.

"Dengan kecemerlangan profil Majlis Pelayang Malaysia mempromosikan acara ini sehingga menjadi satu jenama yang dipercayai di peringkat antarabangsa, sudah pasti memudahkan usaha mempromosi dan menjenamakan Labuan.

"Saya berharap semoga Majlis Pelayang Malaysia memberikan penilaian yang wajar bagi membolehkan Labuan disenaraikan dalam penganjuran akan datang," tambahnya.

Seramai 63 pelayang termasuk 34 pelayang daripada 14 negara menyertai festival selama tiga hari yang bermula pada 6 September lalu di Pantai Batu Manikar anjuran Majlis Pelayang Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Labuan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Pengerusi Perbadanan Labuan Dato’ Sri Amir Hussien, Presiden Majlis Pelayang Malaysia Dato’ A Rahim Nin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman.

Advertisement