Anda di sini

30 lagi sekolah daif ditender pada Oktober, Disember

Advertisement
 Abang Johari menyampaikan replika cek bernilai RM10, 000 untuk PIBG SK Sungai Tisang kepada wakil penerima pada majlis berkenaan.
MANFAATKAN SEBAIKNYA: Abang Johari menyampaikan replika cek bernilai RM10, 000 untuk PIBG SK Sungai Tisang kepada wakil penerima pada majlis berkenaan.

BINTULU: Sebanyak 30 lagi sekolah daif akan ditender pada Oktober dan Disember tahun ini menggunakan dana sebanyak RM350 juta, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, lima sekolah sudah ditender pada Ogos lalu manakala dua lagi akan ditender pada bulan ini.

Jelasnya, projek memperbaiki 37 sekolah daif di negeri ini menggunakan pembayaran bahagian pertama sebanyak RM350 juta kepada kerajaan pusat.

“Bahagian kedua akan dibayar pada Januari nanti sementara bayaran akhir dilakukan pada Jun depan,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tisang di Jalan Bintulu-Miri di sini, semalam.

Abang Johari memberitahu, sebanyak 107 sekolah daif dijangka dapat diperbaiki atau dibina semula menggunakan dana RM1 bilion yang dibayar balik oleh kerajaan negeri kepada kerajaan pusat.

Menurutnya, keutamaan kerja-kerja menaik taraf sekolah-sekolah ini akan akan diberikan kepada Sekolah Kurang Murid (SKM) dan kerap dilanda banjir yang memerlukan pemindahan segera.

Secara amnya, SK Sungai Tisang merupakan salah satu sekolah daif di negeri ini yang akan ditender pada Oktober depan, untuk dinaik taraf termasuk bangunan pentadbiran, bilik guru, bilik sumber dan makmal sains, satu blok kelas yang menempatkan 12 bilik darjah dan laluan pejalan kaki.

“Dengan siapnya kerja-kerja pembaikan semula sekolah ini nanti akan memberi keselesaan kepada semua murid yang menuntut ilmu di SK Sungai Tisang ini nanti yang mana kerja-kerja pembaikan ini akan turut dilaksanakan di sekolah-sekolah daif lain di negeri ini secara berperingkat-peringkat,” ujarnya.

Menurutnya, peruntukan itu merangkumi RM65.265 juta bagi pembinaan serta penempatan semula dua sekolah iaitu Sekolah Mene-ngah Kebangsaan (SMK) Maludam, Betong sebanyak RM35.765 juta dan SK Ulu Segan, Bintulu sebanyak RM29.5 juta.

Dalam pada itu katanya, RM50 juta diperuntukkan bagi kos menyambungkan kesemua 128 sekolah di ne-geri ini ke grid elektrik secara berperingkat manakala RM9 juta diperuntukkan bagi membekalkan bekalan air terawat kepada 41 sekolah di kawasan pedalaman di negeri ini.

Beliau berkata, RM160.5 juta turut diagihkan bagi memperbaiki 62 sekolah di bahagian utara negeri ini melalui Lembaga Pem-bangunan Koridor Wilayah (RECODA), RM21 juta lagi diagihkan bagi memperbaiki fasiliti serta kemudahan 66 sekolah menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) manakala RM37 juta lagi diagihkan melalui Dana Peruntukan Pembangunan Khas (SDAF) bagi membantu sekolah bantuan kerajaan di negeri ini bagi tujuan sama.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak Datuk Talib Zulpilip, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi.

  • oleh
  • Advertisement