Anda di sini

UMS-SDP teruskan kesinambungan kerjasama menerusi LoI

Advertisement
 Ramzah (kiri) dan Mohd Faris (kanan) saling bertukar dokumen selepas menandatangani LoI pada majlis itu.
METERAI KERJASAMA: Ramzah (kiri) dan Mohd Faris (kanan) saling bertukar dokumen selepas menandatangani LoI pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) terus kesinambungan kerjasama untuk perkukuh usaha melestarikan alam sekitar.

Kesinambungan kerjasama kedua-dua pihak dimeterai menerusi majlis menandatangani surat hasrat (LoI) yang turut memberi peluang kepada pelajar UMS dalam bidang perhutanan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Madya Dr Ramzah Dambul berkata, selaras dengan LoI berkenaan, pelajar akan mempelajari secara holistik proses restorasi hutan yang dilaksanakan Sime Darby di hutan seluas 267 hektar di kawasan Ladang Sapong Tenom.

"Saya percaya kerjasama ini menjurus kepada situasi menang-menang yang akan memberi peluang terbaik kepada pelajar untuk mempraktikkan dan mengimplementasi apa yang dipelajari.

"Secara amnya, ia bukan sahaja melibatkan restorasi hutan, malah banyak lagi disiplin kerja seperti ekosistem dan ekologi kepelbagaian flora dan fauna yang akan menyusul untuk dipelajari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani LoI berkenaan di sini semalam. 

Ramzah berkata, kerjasama itu turut memberi faedah kepada UMS yang berfungsi sebagai hutan pengajaran kepada pelajar UMS dalam bidang pemulihan hutan, silvikultur dan kajian biodiversiti.

Menurutnya, aktiviti penghutanan semula adalah salah satu tujahan utama pusat ekokampus UMS iaitu penghijauan semula dan kelestarian alam sekitar.

Sehubungan itu, katanya, penghasilan anak benih pokok hutan akan menjadi tapak utama latihan dan sumber bahan tanaman yang boleh digunakan.

Pada masa sama, jelasnya, kerjasama yang dimeterai itu meningkatkan hubungan UMS dengan industri dan keupayaan atau kelayakan UMS dalam melaksanakan projek pemulihan hutan berskala besar.

"Saya juga yakin dan percaya ini adalah selari dengan Dasar Perhutanan Negara untuk memelihara dan mengurus hutan negara berdasarkan prinsip-prinsip pengurusan secara berkekalan.

"Selain itu, ia bertujuan melindungi alam sekitar dan memelihara kepelbagaian hayat, sumber-sumber genetik dan meningkatkan penyelidikan dan pendidikan," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad Wilayah Sabah Mohd Faris Adli Shukery berkata, kerjasama dengan UMS adalah platform terbaik untuk pihaknya melaksanakan komitmen dan menyokong usaha melindungi dan memulihara ekosistem semulajadi dalam landskap yang lebih besar.

Katanya, jalinan yang dimeterai itu juga menunjukkan sokongan dan sumbangan Sime Darby Plantation kepada kerajaan dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 kawasan hutan di negara ini.

  • oleh
  • Advertisement