Anda di sini

Program Sistem Latihan Dual Nasional berupaya tangani isu pengangguran

Advertisement
Dr Annuar menyampaikan sijil kepada graduan pada majlis Konvokesyen SLDN Peringkat Negeri Sarawak Ke-3 2019 di Kuching hari ini
Dr Annuar menyampaikan sijil kepada graduan pada majlis Konvokesyen SLDN Peringkat Negeri Sarawak Ke-3 2019 di Kuching hari ini

KUCHING: Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dilihat berupaya menangani masalah pengangguran dalam kalangan generasi muda.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee berkata, ini kerana sistem yang dipelopori dari negara Jerman itu mampu menyediakan tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi keperluan industri di negeri ini.

Pada masa sekarang, katanya, pekerja berkemahiran tinggi amat diperlukan untuk melaksanakan tugas yang semakin kompleks.

“Oleh itu, golongan muda perlu diberi akses pendidikan latihan kemahiran yang berkualiti supaya mereka berpeluang untuk mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri yang dapat menjana pendapatan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen SLDN Peringkat Negeri Sarawak Ke-3 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Dr Annuar menambah, meskipun mempunyai ilmu pengetahuan, namun ia masih belum mencukupi untuk bersaing dalam era revolusi perindustrian.

“Maka itu, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu kemahiran seperti menyertai program SLDN,” ujar  beliau yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan

Menurutnya, Sarawak kini rancak dalam usaha membangunkan pelbagai industri yang memerlukan tenaga kerja mahir.

“Tanpa kehadiran tenaga mahir ini, sukar untuk kita mencapai hasrat itu. Sebab itu, saya percaya sistem latihan seumpama ini pastinya dapat membantu kita membangun dalam industri yang kita ceburi,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan para graduan kemahiran untuk terus meningkatkan tahap kemahiran yang mereka miliki ke peringkat lebih tinggi melalui pengalaman di tempat kerja atau luar.

“Di peringkat kerajaan negeri pula, kita akan memastikan anak-anak muda disediakan dengan peluang pekerjaan yang mencukupi malah akan diperhebatkan lagi pada masa hadapan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 544 graduan daripada pelbagai pusat latihan SLDN menerima sijil atas kejayaan menamatkan latihan mereka masing-masing.

Hadir sama, Pengarah SLDN JPK, Kementerian Sumber Manusia, Dr Aruna Ismail dan Pengarah JPK Wilayah Sarawak, Kementerian Sumber Manusia, Sudirman Suratin.

  • oleh
  • Advertisement