Anda di sini

Polis Marin gagalkan cubaan seleweng tong gas LPG

 Pajeri (kanan) bersama Pegawai Pemerintah Marin Sandakan DSP Rusdin Banin (kiri) memeriksa tong gas di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan.
RAMPAS: Pajeri (kanan) bersama Pegawai Pemerintah Marin Sandakan DSP Rusdin Banin (kiri) memeriksa tong gas di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin berjaya gagalkan cubaan menyeleweng gas LPG jenama MyGaz selepas berjaya merampas 31 tong gas berkenaan dalam satu operasi di kawasan Parit Batu 3, di sini, pagi tadia. 

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Pajeri Ali berkata, risikan dan pemantauan telah dijalankan Unit Risik Marin bagi mengenal pasti kegiatan penjualan tong gas LPG tanpa permit di sekitar kawasan pesisir pantai Sandakan. 

“Hasil pemantauan telah mendapati seorang lelaki tempatan sedang memunggah sesuatu di kawasan Parit Batu 3 dalam keadaan mencurigakan," katanya.

"Sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin Sandakan telah berjaya menahan lelaki berusia 46 tahun warga tempatan terbabit," katanya.

Pihaknya juga berjaya merampas 31 tong gas LPG MyGaz berwarna kuning dipercayai untuk diselewengkan dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi.

Pajeri memberitahu, semasa pemeriksaan lanjut oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin Sandakan,  lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membolehkan sebarang transaksi penjualan, penyimpanan dan pemindahan tong gas LPG dijalankan. 

“Lelaki itu beserta barang kes dibawa ke Pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM7,750.

Kes kemudiannya diserahkan kepada KPDNHEP dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan kawalan bekalan, yang jika sabit kesalahan, boleh didenda RM1 juta untuk perseorangan dan penjara tiga tahun,” katanya.