Anda di sini

PKS boleh bermula kecil-kecilan terima pakai Industri 4.0: MDEC

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak seharusnya melihat pelaburan besar sebagai halangan bagi mereka untuk menerima pakai Industri 4.0 kerana mereka mempunyai pilihan untuk bermula secara kecil-kecilan.

Pengarah Ekonomi Data Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) Ir Dr Karl Ng Kah Hou berkata PKS boleh mengambil pendekatan mengutamakan segmen yang mempunyai potensi untuk ditransformasikan terlebih dahulu, bagi membantu menjana produktiviti dan kecekapan dengan lebih baik lagi.

“Bagaimanapun, syarikat-syarikat perlu faham sebelum menerima pakai Industri 4.0, mereka perlu mempunyai data terlebih dahulu, bukan data raya tetapi data berkualiti, yang mungkin dalam bentuk dan kuantiti yang berbeza, kerana tanpanya, kita tidak boleh memproses sebarang maklumat, sama ada teks, visual, suara, angka dan sebagainya.

“Ini juga penting kerana alasan bagi menggunakan data adalah untuk mendapatkan maklumat tertentu, yang kemudiannya diproses untuk membuat unjuran bernilai dan mendapatkan keputusan seperti yang dikehendaki,” kata Ng kepada Bernama.

Industri 4.0 adalah konsep di mana mesin diperkuatkan dengan kesalinghubungan dan sensor tanpa wayar, yang dihubungkan kepada satu sistem yang boleh menggambarkan keseluruhan barisan pengeluaran dan membuat keputusan sendiri.

Ng berkata, syarikat-syarikat perlu mengetahui apa yang mereka mahu capai dan mesti bersedia untuk melabur masa, wang dan kepakaran bagi mengumpulkan data berkualiti, membina sistem prasarana dan mendapatkan instrumen yang sesuai bagi membolehkan data diproses.

“Sebagai contoh, jika anda mahu menyisihkan benda tertentu dalam proses pembuatan anda, anda mungkin mahu menggunakan sensor automatik untuk mengenal pasti saiz, berat, kandungan dan pembungkusan barang yang betul.   

“Ini akan memerlukan anda mengumpulkan maklumat berharga (data) berkaitan dengan barang itu sebelum memprogramkannya dan sebelum proses pengisihan berlaku mengikut keutamaan anda,” katanya.

Mengenai perkara berkaitan, beliau berkata, MDEC sentiasa bekerjasama dengan penyedia teknologi tempatan untuk membantu perniagaan beralih kepada Industri 4.0.

“Kebanyakan pemain teknologi dan maklumat (IT) yang bekerjasama dengan kami, mereka membangunkan sistem mereka sendiri dalam analisis data raya, pengkomputeran awan dan kejuruteraan data. Bagaimanapun, oleh kerana trend Industri 4.0 ini berkembang dengan sangat pantas, akan ada lebih banyak permintaan terhadap penganalisis data, saintis data dan jurutera data oleh syarikat-syarikat.

“Justeru, memandangkan lebih banyak perkhidmatan akan ditawarkan kepada syarikat-syarikat, kami menjangkakan kos transformasi digital akan berkurangan secara perlahan-lahan, menjadikan syarikat mampu untuk memulakannya,” katanya.

Menurut Ng, sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui ekonomi digital negara, MDEC mengalu-alukan syarikat untuk mendapatkan pengetahuan, latihan, menyertai dalam pelbagai program dan mendapatkan nasihat mengenai Revolusi Industri 4.0 daripada agensi tersebut.

Sejajar dengan objektifnya, beliau berkata MDEC menganjurkan Minggu Kecerdasan Buatan (AI) & Data (AIDW) 2019 (sebelum ini dikenali sebagai Minggu Data Raya) bermula 9-15 September.

Program tersebut yang memasuki tahun keenamnya, menyediakan pelbagai acara dengan MDEC menjadi fasilitator, manakala perancangan aktiviti akan dijalankan oleh 4,000 penganjur bebas, bagi PKS dan pelajar.

“Memandangkan kita menyasar menjadikan Malaysia sebagai hab digital serantau bagi AI dan data, acara-acara yang dianjurkan akan menekankan tentang kepentingan dan konsep data sebagai asas bagi Industri 4.0.

“Pada masa yang sama, ia juga akan memperkenalkan aplikasi pembelajaran mesin dalam AI yang memerlukan analisis data yang mengautomasikan binaan model analisis,” kata Ng. — Bernama

Advertisement