Anda di sini

Penampang Masters juara SAMOC

 Timbalan Presiden SAMAS, Dr Tajul Ariffin menyampaikan hadiah Juara keseluruhan SAMOC 2019 kepada pengurus pasukan Penampang Masters, Leonard Willon. Turut bersama ialah anggota skuad Penampang Masters.
JUARA: Timbalan Presiden SAMAS, Dr Tajul Ariffin menyampaikan hadiah Juara keseluruhan SAMOC 2019 kepada pengurus pasukan Penampang Masters, Leonard Willon. Turut bersama ialah anggota skuad Penampang Masters.

KOTA KINABALU: Penampang Masters merangkul 42 pingat emas, 32 perak dan 24 gangsa untuk muncul juara keseluruhan edisi kesembilan Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Sabah (SAMOC) 2019 di Stadium Likas pada 7-8 September.

Tempat kedua dimenangi Papar Masters dengan 32 emas, 35 perak dan 22 gangsa manakala Kelab Rekreasi Perubatan Sabah (SMRC) di tempat ketiga dengan 29 emas, 35 perak dan 24 gangsa.

Di tempat keempat adalah pasukan Brunei dengan 21 emas, 13 perak dan sembilan gangsa (21E, 13P, 9G), kelima Tuaran (18E, 12P, 16G), keenam Maybank (12E, 3P, 24G), ketujuh TTSS (11E, 6P, 6G), kelapan Utara Sabah (9E, 9P, 9G) dan kesembilan Labuan (9E, 9P, 8G) manakala Filipina melengkapkan senarai 10 pasukan teratas dengan sembilan emas, tujuh perak dan empat gangsa.

Presiden Persatuan Olahraga Masters Sabah (SAMAS), David William berkata, acara lompat bergalah yang diperkenalkan buat pertama kali antara yang mencuri tumpuan terutama dengan penyertaan bekas jaguh dari Filipina, Emerson Obiena dalam kategori 50-54 tahun.

Turut mengambil bahagian ialah Chan Chee Kiong (Melaka - 55-59 tahun), Larry Andang (Utara Sabah - 40-44 tahun) dan Aliudin Jumaat (Papar Masters - 60-65 tahun).

Kejohanan turut diserikan dengan penyertaan 22 pasukan dalam acara lari berganti-ganti 4x100m dan 4x400m lelaki dan wanita dalam kategori bawah 20 tahun, bawah 25 tahun dan bawah 34 tahun sebagai acara sampingan.

Keseluruhannya, kejohanan untuk atlet berusia 35 tahun ke atas itu disertai lebih 700 atlet dari 34 pasukan dalam dan luar negara.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kerana kejohanan ini berlangsung dengan baik. Saya juga bangga kerana kejohanan ini didominasi atlet-atlet negeri ini yang mewakili beberapa pasukan," kata David yang juga pengerusi penganjur.

Antara atlet menyerlah ialah Erine Sinuel dari pasukan Maybank yang menang empat pingat emas menerusi acara 100m, 200m, 400m dan Lontar Peluru kategori 50-54 tahun wanita,

Maulani Diman (Kota Belud - empat emas: 100m, 200m, Lempar Cakera, Lontar Peluru 50-54 tahun lelaki), Juliana Gumpil ( Penampang Masters - tiga emas: 100m, Lompat Jauh, Lompat Kijang 55-59 tahun wanita) dan Charlie Lee (Penampang Masters - empat emas: 100m, 200m, 400m dan lompat bergalah 60-64 tahun lelaki).

Beliau juga berterima kasih kepada Kementerian Belia Dan Sukan Sabah (KBSS), Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS)dan Persatuan Palang Merah Tuaran serta AJK SAMOC atas sokongan dan kerjasama menjayakan kejohanan itu.

Setiausaha Politik Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Henry Shim mewakili menterinya menyempurnakan majlis penutupan.

Turut bersama ialah Ahli Seumur Hidup Persekutuan Triathlon Datuk Balwant Singh Kler dan beberapa bekas atlet kebangsaan Sabah.