Anda di sini

Pelajar lelaki mengaku bersalah rogol rakan sekolah di tandas awam

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pelajar lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol rakan sekolahnya di tandas awam pada 6 Ogos lalu.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar kemudian menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh untuk mendengar laporan akhlak bagi kes tersebut.

Tertuduh, berusia 17 tahun, mengaku melakukan perbuatan terbabit di dalam tandas lelaki di sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Green, sini.

Menurut fakta kes, tertuduh dengan mangsa belajar di sekolah yang sama di sini dan sudah berjumpa sebanyak tiga kali sejak Jun lepas. 

Tertuduh juga meraba rakannya yang berusia 14 tahun itu di bahagian payudara, selain menyentuh kemaluannya ketika berada di tangga. 

Selepas kejadian itu berlaku, mangsa memaklumkan kepada ibunya mengenai perkara terbabit dan dia dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut. 

Menurut laporan perubatan, doktor mengesahkan terdapat kesan koyak di kemaluan mangsa akibat perbuatan tertuduh.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Manakala bagi Sekyen 14(a) pula, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement