Anda di sini

Mayat pemancing kedua ditemukan terapung di laut

 Mayat pemancing kedua ditemukan terapung di pesisir pantai Pulau Sari Besar.
TERAPUNG: Mayat pemancing kedua ditemukan terapung di pesisir pantai Pulau Sari Besar.

LABUAN: Mayat kedua dari tiga pemancing yang hilang di perairan Lawas Isnin lalu ditemukan malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, mayat kedua dikenal pasti sebagai Faruk Arina Ahmad Sabri, 29, ditemukan kira-kira jam 11 malam semalam.

“Mayat ditemukan dalam keadaan terapung oleh Pasukan Bomba Sukarela Kampung Punang bersama penduduk kampung di pesisiran pantai Pulau Sari Besar di sini.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dipertingkatkan lagi dengan menggunakan pesawat Bombadier 415MP milik Maritim Malaysia dengan dibantu agensi keselamatan lain.

“Empat bot penduduk juga turut serta dalam pencarian bagi mencari baki seorang lagi mangsa masih hilang,” katanya.

Kira-kira jam 5 pagi Isnin, kesemua mangsa masing-masing Faruk, Yee Chon Tiong, 30, dan Mohd Amirul Bakar, 26, keluar ke laut untuk memancing di sekitar Pulau Sari.

Mereka yang menaiki bot fiber sepatutnya dijadualkan balik jam 6 petang bagaimanapun gagal dihubungi sebelum gerakan mencari diaktifkan jam 12 malam hari sama.

Mayat Yee berjaya ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terdampar di atas batu di perairan Sungai Labik Sarawak seawal jam 8.35 pagi keesokannya.

Operasi turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Polis Marin Diraja Brunei bagi bantuan untuk SAR.