Anda di sini

Malaysian Tigers optimis cipta kejutan

Advertisement
 Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal (duduk kanan) bersama Roelant (duduk kiri) pada sidang media Pengumuman Keputusan Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Stadium Hoki Bukit Jalil kelmarin.  — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal (duduk kanan) bersama Roelant (duduk kiri) pada sidang media Pengumuman Keputusan Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Stadium Hoki Bukit Jalil kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kapten pasukan hoki lelaki kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib optimistik bahawa skuad Malaysian Tigers mampu mencipta kejutan ke atas Great Britain, dalam pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia yang baharu melonjak satu tempat ke kedudukan ke-11 dunia pada Ahad, diberikan laluan sukar apabila diundi menentang pemenang pingat emas Olimpik sebanyak tiga kali itu, berbanding negara lain seperti Sepanyol, New Zealand dan Kanada pada majlis undian di Switzerland, malam kelmarin.

Selain berhadapan dengan pasukan yang kuat, pemain negara juga terpaksa menghadapi perbezaan waktu selama tujuh jam dan cuaca permulaan musim sejuk, apabila beraksi di Lee Valley Hockey and Tennis Centre, London pada 2 dan 3 November ini, di mana suhu boleh jatuh ke paras bawah 15 darjah Celsius.

Bagaimanapun, Sukri mahu rakan sepasukannya terus menunjukkan prestasi yang dipamerkan, ketika Jelajah Eropah pada bulan lalu yang menyaksikan Malaysian Tigers mengikat England 3-3 dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Untuk saingan Sukan Olimpik, pasukan Great Britain akan disertai majoriti pemain dari pasukan nombor tujuh dunia England, Wales (18) dan Scotland (19).

“Kita ada beberapa aspek positif yang kita boleh terapkan dalam pasukan. Sebelum ketua jurulatih, Roelant Oltmans mengambil alih, kita agak bermasalah apabila bertemu pasukan Eropah, terutamanya Great Britain, tetapi pada tahun ini, kita berjaya rapatkan jurang dengan England.

“Saya rasa kita dah semakin memahami struktur permainan yang ingin diterapkan oleh Roelant ketika ini. Saya yakin kita dapat mengulangi pencapaian layak ke Piala Dunia 2018 secara merit di London (menerusi Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia) pada kali ini,” katanya.

Malaysia meraih kelayakan ke Piala Dunia selepas menamatkan kempen di kedudukan empat teratas, namun skuad negara mengalami kekalahan 7-3 pada peringkat kumpulan dan 4-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kepada tuan rumah, England ketika itu. — Bernama

Advertisement