Anda di sini

Loji methanol di Bintulu rancak industri berdasarkan sumber asli

Advertisement
Abang Johari merakam gambar bersama menteri-menteri kabinet negeri dan pihak Sarawak Petchem sebelum melakukan pecah tanah.
Abang Johari merakam gambar bersama menteri-menteri kabinet negeri dan pihak Sarawak Petchem sebelum menyempurnakan simbolik pecah tanah di Tanjung Kidurong, hari ini.

BINTULU: Loji methanol yang dibangun oleh kerajaan Sarawak akan membawa negeri ini ke arah perindustrian lebih besar, sekali gus akan menarik pelabur asing untuk terlibat sama dalam membantu pengeluaran produk nilai tambah hiliran berasaskan minyak dan gas.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha untuk mengubah negeri ini perlu disokong dengan merancakkan perindustrian berdasarkan sumber asli yang ada.

"Kita telah berjaya mempelbagai ekonomi daripada pertanian kepada pengeluaran dan perkhidmatan.

"Projek ini akan menjana peluang pekerjaan untuk fasa pembinaan khususnya operasi komersialnya," ujarnya ketika menyempurnakan Upacara Pecah Tanah Projek Loji Methanol yang mampu menghasil 5,000 metrik tan sehari (MTPD) produk methanol di kawasan 34 hektar di Similajau Tanjung Kidurong, hari ini.

Abang Johari berkata untuk memperkembangkan ekonomi negeri lebih jauh, negeri perlu cabaran baharu atau memperbanyak aktiviti ekonominya dengan memasuki industri petrokimia bernilai tambah tinggi seperti methanol.

"Untuk merealisasi objektif ini, kerajaan negeri perlu fokus kepada pembangunan hiliran dalam sektor minyak dan gas yang menyumbang lebih kepada ekonomi negeri," tambahnya.

Dalam usaha itu katanya ia akan mentransfomasikan Bintulu kepada satu lagi hab petro kimia di wilayah ini.

Katanya, meskipun Sarawak kaya dengan sumber aslinya seperti minyak dan gas namun tidak dinafikan produk negeri ini masih lagi komoditi asas untuk eksport.

Justeru katanya. Sarawak perlu mengeksploitasi sumber asli ini dengan lebih jauh dan tidak hanya fokus kepada aktiviti huluan.

Sarawak Petchem Sdn Bhd adalah syarikat pertama Sarawak yang mengeluarkan methanol dengan kapasiti 1.7 juta metrik tan setahun (mtpa).

Loji itu dijangka sedia untuk beroperasi 'Ready For Start Up(RFSU)'pada akhir tahun 2022 dan penggunaan 160 juta metrik kaki persegi sehari (mmscfd) gas asli untuk bahan mentahnya daripada Petronas.

Operasi pengeluarannya bermula suku pertama 2023 sebagai perintis aktiviti hiliran indistri minyak dan gas di Sarawak.

Pembinaan loji itu akan bermula pada suku pertama tahun 2020.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Pejabat Ketua Menteri  (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Pengerusi Sarawak Petchem Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Dato Husain, menteri-menteri kabinet negeri dan ahli-ahli lembaga pengarah Sarawak Petchem.

  • oleh
  • Advertisement