Anda di sini

Lapangan terbang ditutup apabila jarak penglihatan mendatar jatuh di bawah 400 meter 

Seorang pengunjung Anjung Indah, Balik Pulau kelihatan membaca akhbar harian berlatar belakangkan pemandangan yang kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda di negeri ini.
Seorang pengunjung Anjung Indah, Balik Pulau kelihatan membaca akhbar harian berlatar belakangkan pemandangan yang kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda di negeri ini. - Gambar Bernama 

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi penglihatan yang rendah di lapangan terbang akan dikuatkuasakan hanya apabila penglihatan mendatar jatuh di bawah 400 meter akibat jerebu, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sehingga 2 petang jarak penglihatan yang direkodkan ialah 2,000 meter.  

"Jarak penglihatan ini dicatatkan oleh peralatan meteorologi yang diletakkan pada setiap hujung landasan, yang mengukur penglihatan mendatar, yang diistilahkan dalam  dunia penerbangan sebagai Jarak Visual Landasan (RVR).

"Pihak berkuasa lapangan terbang boleh memutuskan untuk menangguhkan operasinya di atas nasihat Kawalan Lalu Lintas Udara (jika penglihatan mendatar di bawah 400 meter)," kata jurucakap pengendali lapangan terbang itu kepada Bernama.

Pada Oktober 2015, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ditutup sementara selama tiga jam akibat jerebu yang mengakibatkan jarak penglihatan rendah hanya 500 meter, menyebabkan beratus-ratus penumpang terkandas di terminal.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam) berkata lapangan terbang di Malaysia dilengkapi dengan sistem yang lebih moden dan canggih seperti Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan Sistem Radar Pergerakan Permukaan (SMR) yang dapat memudahkan pendaratan pesawat dalam jerebu.

Pada 2018, pergerakan penumpang Malaysia meningkat 2.5 peratus kepada 99 juta penumpang (2017: 8.5 peratus), dengan pergerakan domestik dan antarabangsa masing-masing meningkat 0.4 peratus dan 4.5 peratus.

Sementara itu, penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (Istanbul SGIA) naik 8.8 peratus kepada 34.1 juta, meningkatkan jumlah penumpang yang dikendalikan oleh lapangan terbang MAHB ke 133.1 juta pada tahun 2018 - yang tertinggi pernah dicatatkan.

Bagi enam bulan pertama tahun ini, rangkaian lapangan terbang MAHB, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) di Turki, mengendalikan 67.8 juta penumpang - pertumbuhan 4.3 peratus tahun ke tahun. - Bernama