Anda di sini

Kerajaan komited banteras rasuah: Latheefa

 Latheefa ketika bercakap dengan media.
SIDANG MEDIA: Latheefa ketika bercakap dengan media.

KOTA KINABALU: Kerajaan memandang serius dan komited dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata, pihaknya sentiasa menerima sebarang aduan berkaitan rasuah dan sekiranya aduan itu jelas, tindakan segera akan diambil untuk menjalankan siasatan.

"Orang ramai mula membuat aduan mengenai kes rasuah, namun siasatan tidak dapat dijalankan kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh.

"Bagi SPRM memulakan siasatan, aduan atau informasi yang disalurkan perlu disertakan dengan bukti agar kita dapat mengambil tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), semalam.

Menurut Latheefa, tujuan kunjungan adalah untuk membincangkan hal-hal berkaitan pencegahan rasuah di Sabah serta menawarkan penempatan seorang pegawai kanan SPRM di Jabatan Ketua Menteri.

"Penempatan ini adalah untuk memantau dan memastikan tidak ada sebarang aktiviti rasuah yang berlaku dan juga penyalahgunaan kuasa dalam soal tadbir urus kerajaan negeri," katanya.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sabah Dato Sazali Salbi.