Anda di sini

Kerajaan kenal pasti ruang fiskal untuk utamakan pertumbuhan ekonomi mampan

 Lim (tengah) bergambar selepas melancarkan Pembukaan Menara Prudential di Persiaran TRX semalam. Turut hadir,(dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Nor Azman Zainal, Ketua Eksekutif Insuran Korporat Prudential Asia Lilian Ng, Ketua Eksekutif Korporat Prudential Asia Nik Nicandrou, Gan Leong, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Korporat Bhd Liew Hau Seng (dua, kanan) dan Pengerusi IJM Korporat Bhd Tan Sri Krishnan Tan. — Gambar Bernama
UNTUK KENANGAN: Lim (tengah) bergambar selepas melancarkan Pembukaan Menara Prudential di Persiaran TRX semalam. Turut hadir,(dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Nor Azman Zainal, Ketua Eksekutif Insuran Korporat Prudential Asia Lilian Ng, Ketua Eksekutif Korporat Prudential Asia Nik Nicandrou, Gan Leong, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Korporat Bhd Liew Hau Seng (dua, kanan) dan Pengerusi IJM Korporat Bhd Tan Sri Krishnan Tan. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengenal pasti ruang fiskal untuk mengutamakan pertumbuhan ekonomi mampan dan dijangka tidak memperkenalkan langkah pencukaian baharu dalam Belanjawan 2020, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Kita akan mengutamakan pertumbuhan ekonomi. Oleh itu langkan pengembangan mungkin perlu untuk menyediakan beberapa kontingensi fiskal, susulan persekitaran ekonomi global mencabar sekiranya kemelut perdagangan antara China dan Amerika Syarikat masih tidak dapat diselesaikan.

“Selain itu, untuk meningkatkan keyakinan sektor korporat dan komuniti pelaburan, kita tidak menjangkakan sebarang langkah pencukaian baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Menara Prudential di Tun Razak Exchange (TRX) di sini, semalam.

Mengenai Belanjawan 2020, beliau berkata perbincangan dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan input masih dijalankan dan maklumat terperinci akan tersedia semasa pembentangan belanjawan itu pada 11 Okt ini.

Lim berkata Malaysia menyokong penerusan pendekatan pelbagai hala untuk mencapai perdagangan bebas dan saksama; pertumbuhan pengeluaran; mengamalkan ekonomi digital; peningkatan pendapatan untuk memperkukuh kuasa beli; serta keberuntungan pekerja dan perniagaan.

Sementara itu, Prudential hari ini meraikan pembukaan ibu pejabat korporatnya di sini, yang akan menempatkan kesemua lima perniagaan syarikat, iaitu Prudential Assurance Malaysia Bhd, Prudential BSN Takaful Bhd, Eastspring Investments Bhd, Eastspring Al-Wara’ Investment Bhd dan Prudential Services Asia.

Kehadiran Prudential di wilayah TRX akan memperkukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama perniagaan dan kewangan antarabangsa, termasuk insurans.

Ketua Pengawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia, Gan Leong Hin berkata pihaknya gembira menjadi firma pertama berpindah ke zon TRX berkelas dunia itu.

“Malaysia merupakan pasaran operasi paling lama bagi Prudential di Asia setelah beroperasi selama lebih 95 tahun, dan pejabat baharu ini merupakan bukti komitmen kami kepada komuniti,” katanya. — Bernama