Anda di sini

Henti guna SPRM sebagai alat politik, gesa Latheefa

Advertisement
LATHEEFA - Gambar fail Bernama 

KUCHING: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya menggesa semua pihak untuk berhenti memfailkan aduan hanya untuk mengenakan lawan politik mereka. 

Beliau dalam laporan Malay Mail hari, berkata suruhanjaya itu menyiasat semua aduan diterima, namun sering mendapati kebanyakan aduan difailkan didorong oleh dendam.

"SPRM telah lama digunakan sebagai alat politik - orang membuat aduan hanya untuk mengenakan yang lain. 

"Terdapat banyak situasi dimana orang datang membuat aduan dan kemudian mengadakan sidang media hanya untuk mengataka 'saya telah melakukannya', jadi ini adalah masalah.

"Kami menggesa orang ramai untuk berhenti menggunakan SPRM sebagai alat politik," katanya di Kota Kinabalu ketika diminta mengulas mengenai seorang ahli politik pembangkang yang mendesak SPRM untuk bertindak adil dalam siasatan dakwaan rasuah melibatkan pakatan pemerintah yang baru.

Latheefa berkata SPRM tidak menghentikan siasatan apabila berlaku perubahan kerajaan, tetapi kerana maklumat tidak mencukupi berdasarkan aduan awal. 

"Kami akan menyiasat aduan, tetapi apabila ada asas. Kadang-kadang aduan sekadar aduan.

"Jika pembangkang rasa kita tidak meneliti kes mereka, mungkin mereka perlu melihat balik cara aduan dibuat. Adakan ia dengan asas atau sekadar aduan? Adakah mereka membuat kenyataan umum, atau menerusi media, atau tampil kepada kita dengan maklumat?" soalnya. 

Bulan lepas, presiden Parti Solidariti Tanah Airku Datuk Dr Jeffrey Kitingan menggesa SPRM untuk lebih adil dalam siasatan kes dan mengingatkan mereka dua kes melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony. 

Shafie pada 2017 disiasat oleh SPRM dan ditahan di lokap sebelum beliau menjadi Ketua Menteri pada Mei 2018, manakala Anthony ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung penjualan tanah bernilai RM155 juta kepada Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
 

Advertisement