Anda di sini

Harga biar munasabah

Advertisement
 Salah seorang guru SK Gita, Kuching membantu calon UPSR memakai penutup mulut dan hidung sebelum memasuki dewan peperiksaan, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
GAGAHI JEREBU: Salah seorang guru SK Gita, Kuching membantu calon UPSR memakai penutup mulut dan hidung sebelum memasuki dewan peperiksaan, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Pembekal dan peniaga di negeri ini digesa tidak mengambil kesempatan susulan kejadian jerebu dengan menaikkan harga penutup mulut dan hidung secara tidak munasabah.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, pembekal atau peniaga tidak boleh menjual penutup mulut dan hidung melebihi harga ditetapkan kerana ia merupakan barangan terkawal.

Menurutnya, penutup mulut dan muka pembedahan yang lazimnya digunakan semasa jerebu dijual pada harga 80 sen sekeping, manakala bagi jenis N98 harga maksimum ialah RM6 setiap satu.

“Saya telah menghubungi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengetahui harga penutup mulut dan hidung, saya dimaklumkan ia adalah barangan terkawal.

“Jika pengguna mendapati peniaga menjual pada harga lebih tinggi daripada harga ditetapkan, mereka boleh mengemukakan aduan dengan maklumat-maklumat lengkap kepada KPDNHEP,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak di sini, semalam.

DR YII
DR YII

Dr Yii berkata, orang ramai boleh membuat aduan di pejabat KPDNHEP berdekatan atau menerusi e-aduan di portal rasmi kementerian itu, kpdnhep.gov.my.

“Peniaga boleh membuat keuntungan, tetapi haruslah munasabah dan tidak mengambil kesempatan daripada situasi sekarang,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin memaklumkan kepadanya kementerian itu akan mengambil langkah sewajarnya termasuk mengadakan rundingan dengan rakan sejawatan di Indonesia mengenai isu jerebu rentas sempadan yang melanda Malaysia dan Sarawak khasnya ketika ini.

“YB Menteri turut memaklumkan kepada saya, langkah segera perlu diambil sekarang ialah kerajaan Indonesia memadamkan kebakaran hutan di negara itu, Sumatera dan Kalimantan kerana punca jerebu melanda kita sekarang ialah dari negara itu.

“MESTECC juga melihat kemungkinan melakukan pembenihan awan kerana ia hanya boleh dibuat jika terdapat awan. Mereka sedang memantau perkara ini.

“Bagaimanapun, ini hanyalah langkah sementara kerana jerebu akan datang semula selepas hujan selagi kebakaran hutan di Indonesia tidak dipadam sepenuhnya,” jelasnya.

Dr Yii turut memaklumkan beliau akan bertemu dengan Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Yonny Tri Prayitno dalam waktu terdekat untuk memberi tekanan tambahan agar Indonesia mematuhi persetujuan dicapai berhubung jerebu rentas sempadan.

Menurutnya, persetujuan berhubung isu jerebu rentas sempadan telah dicapai antara negara-negara khususnya Indonesia yang menghadiri Mesyuarat Ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Sub-Serantau Jawatankuasa Pemandu Menteri Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan pada Ogos lalu.

Beliau menambah, semasa mesyuarat itu Indonesia telah bersetuju untuk mengawal aktiviti pembakaran terbuka di negara tersebut bagi meminimumkan kejadian jerebu rentas sempadan namun ia tidak berlaku.

  • oleh
  • Advertisement