Anda di sini

Enam warga asing ditahan, gagal kemuka dokumen sah

Advertisement
 Anggota Maritim memeriksa dokumen juragan dan penumpang.
PERIKSA: Anggota Maritim memeriksa dokumen juragan dan penumpang.

TAWAU: Juragan dan penumpang warga Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, di sini semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tawau Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, kejadian itu berlaku semasa bot peronda Maritim sedang menjalankan pemeriksaan rutin kira-kira jam 9.30 pagi.

"Bot penumpang yang membawa lima penumpang itu dipercayai dalam perjalanan menuju ke Sungai Melayu, Sebatik dari Tawau," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang juragan, 31, dan lima penumpangnya berumur 26 hingga 49 tahun menggunakan laluan yang tidak diwartakan.

"Kita juga mendapati juragan sahaja yang mempunyai dokumen sah manakala kesemua penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah," katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dan bot penumpang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Yusri berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

"Penguatkuasaan ini untuk memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan serta menjaga perairan Sabah khususnya Tawau supaya selamat, aman dan terkawal," katanya.

Beliau meminta orang awam untuk terus bekerjasama menyalurkan aduan serta maklumat berkaitan pelakuan jenayah dan kecemasan kepada Maritim Malaysia Tawau.

  • oleh
  • Advertisement