Anda di sini

Buruh tikam pembantu AADK kena 17 tahun, lima sebatan

Advertisement
Raymond (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen.
Raymond (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen.

SIBU: Seorang buruh yang menikam Pembantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) awal bulan ini, dijatuhkan hukuman 17 tahun dan dua bulan berserta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Raymond Bakak, 18, dari Bandar Baru Permyjaya, Miri terdahulu dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan tiga sebatan atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah dengan menikam mangsa menggunakan pisau.

Tertuduh turut dijatuhkan hukuman enam tahun penjara dan dua sebatan bagi tuduhan merompak barangan milik mangsa dan 14 bulan penjara atas tuduhan mencuri motosikal mangsa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan. Dalam rayuan, Raymond memberitahu dia bekerja sebagai buruh.

Tertuduh juga merayu menjalani hukuman penjara itu di Penjara Miri memandangkan keluarganya tinggal di Miri.

Raymond didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu pada 1 September 2019, antara pukul 7.30 malam hingga 8.30 malam di Pusat Khidmat Pemulihan dan Penjagaan (CCSC) AADK Sibu di Jalan Hulu Lanang.

Bagi pertuduhan menikam mangsa, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 dan Seksyen 397 kanun yang sama bagi pertuduhan merompak mangsa.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas tuduhan mencuri motosikal milik mangsa.


 

  • oleh
  • Advertisement