Anda di sini

14 penghuni selamat, rumah runtuh di Kampung Jeriah

 Keadaan kerosakan struktur rumah akibat runtuhan yang berlaku di Kampung Jeriah tengah malam tadi.
 Keadaan kerosakan struktur rumah akibat runtuhan yang berlaku di Kampung Jeriah tengah malam tadi.

SIBU: Kira-kira 14 orang penghuni sebuah rumah berdepan cemas apabila rumah kayu yang didiami runtuh dalam satu kejadian di Kampung Jeriah, tengah malam tadi. 

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu, Kapten (PA) Frankie John Jawan berkata, kejadian itu berlaku semasa beberapa penghuni sedang nyenyak tidur dan segelintir masih menonton televisyen pada pukul 12 tengah malam.

"Akibat runtuhan itu, rumah tersebut mengalami kerosakan teruk dan tidak selamat didiami oleh ahli-ahli keluarga yang terjejas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kes tersebut.

"Buat masa sekarang, semua ahli keluarga yang tinggal di rumah itu kini menumpang sementara di rumah saudara-mara mereka yang berdekatan, katanya.