Anda di sini

Tunggu IPU lebih 300

Advertisement
 Orang ramai dilihat menggunakan penutup hidung dan mulut di Tebingan Kuching.
LINDUNGI DIRI: Orang ramai dilihat menggunakan penutup hidung dan mulut di Tebingan Kuching.

KUCHING: Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diteruskan jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini tidak melebihi 300.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak Dr Azhar Ahmad berkata, jika bacaan IPU mencecah 300, jabatan akan menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk memutuskan sama ada UPSR ditangguh atau sebaliknya.

“Sekiranya bacaan IPU melebihi 300, KPM akan membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Seramai 40,448 murid tahun enam menduduki UPSR di Sarawak yang berlangsung dari 4 September hingga 12 September ini.

Beliau berkata, semua sekolah yang terjejas akibat jerebu di Sarawak perlu ditutup jika IPU melebihi 200.

Menurutnya, pengetua dan guru besar diberi kuasa untuk menentukan sama ada sekolah ditutup sementara atau tidak.

“Secara asasnya, semua sekolah terjejas akibat jerebu melebihi 200 harus ditutup, bagaimanapun keputusan untuk menutup sementara sekolah dibuat oleh pengetua atau guru besar berdasarkan bacaan terkini IPU setiap hari pada jam 6 petang,” ujarnya.

Dr Azhar menambah, JPN Sarawak telah mengarah dan mengingatkan semua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah mematuhi pekeliling serta prosedur operasi standard (SOP) berkaitan jerebu.

Beliau turut memberitahu bahawa sebanyak 69,000 penutup hidung dan mulut (topeng jerebu) telah diedarkan kepada 713 sekolah di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah dan Sibu.

“Kita sentiasa memfokuskan kepada calon UPSR di kawasan yang terjejas (bacaan IPU 200 dan ke atas),” ujarnya.

Sementara itu, JPN Sarawak dalam kenyataannya berkata, KPM sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu pada tahap kritikal.

“Antara langkah yang diambil termasuk menyarankan pihak sekolah menghentikan  semua aktiviti di luar bilik darjah  jika bacaan IPU melebihi 100.

“Apa jua aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan harus ditangguhkan,” kata kenyataan jabatan itu.

Sekiranya bacaan IPU melebihi 200 pula, katanya, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah harus ditutup serta-merta dan pengetua serta guru besar perlu memaklumkan kepada PPD tentang penutupan sekolah.

“Pembukaan semula sekolah adalah bergantung kepada bacaan IPU bawah 200. Sehubungan itu, murid-murid dinasihati memakai penutup hidung (nasal mask) dan minum air kerap.

“Bagi ibu bapa yang bimbangkan  kesihatan anak-anak, mereka dibenarkan tidak menghantar anak-anak ke sekolah dan pihak sekolah perlu dimaklumkan akan hal ini,” tambah kenyataan itu.

Ujarnya kenyataan itu lagi, pihak sekolah dan ibu bapa diminta sentiasa mengikuti perkembangan semasa laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http//apims.doe.gov.my mengenai fenomena jerebu di  kawasan atau daerah  masing-masing sebelum mengambil sebarang tindakan.

BERNAMA pada Ahad  memetik  Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai berkata, KPM sedang memantau seluruh sekolah di Sarawak terutama murid yang menduduki UPSR berikutan bacaan IPU tidak sihat di beberapa kawasan di negeri ini sejak Sabtu.

Katanya, JPN Sarawak akan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan murid dan mengikut SOP sedia ada.

  • oleh
  • Advertisement