Anda di sini

Priyanka Chopra dan Nick Jonas pilihan People sebagai selebriti berpakaian terbaik

Advertisement
 

AKTRES Priyanka Chopra dan suami bintang popnya Nick Jonas dinamakan sebagai berpakaian terbaik pada 2019 oleh majalah People baru-baru ini,  yang menandakan kali pertama dalam sejarah majalah selebriti itu di mana sepasang suami isteri berkongsi penghormatan bagi stail terbaik.

Chopra, 37, seorang bekas Miss World yang menjadi seorang bintang di Hollywood dan Bollywood, dan Jonas, 26, menduduki tempat teratas dalam senarai berpakaian terbaik tahunan People dalam satu pilihan elektik termasuk pelakon Billy Porter dan juara tenis Serena Williams selain penentu stail veteran seperti Jennifer Lopez, Lady Gaga dan Celine Dion.

“Ini adalah kali pertama dalam sejarah di mana kita ada seorang lelaki atau pasangan suami isteri dalam senarai Top 10, apatah lagi sebagai berpakaian terbaik. Tetapi ia benar-benar rasa seperti dua orang ini memang berhak,” kata pengarah stail dan kecantikan People, Andrea Lavinthal, kepada Reuters.

“Kombinasi kedua-dua mereka begitu mengujakan untuk dilihat. (Jonas) sebenarnya bukan seseorang yang hanya memakai tuksedo hitam dan berdiri di sisinya di atas permaidani merah. Kita dapat lihat bahawa dia amat menyukai fesyen sama seperti isterinya,” tambah Lavinthal.

Chopra, yang menjadi warga India pertama untuk menjadi pelakon utama dalam sebuah siri drama televisyen di Amerika Syarikat sebagai bintang ‘Quantico’, mengahwini adik bongsu di antara tiga pemuzik Jonas Brothers di New Delhi pada Disember 2018, seterusnya menjadi salah satu pasangan selebriti paling dicari-cari di dunia.

Lavinthal memuji Chopra dan Jonas kerana menerima pelbagai stail dan pereka tetapi sentiasa kelihatan bagus.

“Mereka tidak berpakaian sedondon tetapi mereka masih kelihatan seperti mereka sepadan bila bersama,” katanya.

“Malah berjalan di lebuh raya di New York City, mereka tidak memakai seluar jean dan kemeja atau seluar panjang kasual. Dia (Chopra) membuat penampilan dari kepala hingga ke kaki, dan begitu juga dengan suaminya.”

Porter, bintang yang dicalonkan untuk anugerah Emmy dari siri TV ‘Pose’ tentang budaya dewan tarian LGBTQ di New York pada zaman 1980an, dianggap sebagai ‘Disruptor’ dalam senarai berpakaian terbaik People’s Top 10.

Porter, 49, menarik perhatian apabila dia berjalan di atas permaidani merah Oscar pada Februari lalu dengan memakai gaun tarian tuksedo baldu hitam, dan di Met Gala pada Mei lalu berpakaian seperti dewa matahari Mesir yang berkilauan dengan sayap emas.

Lavinthal berkata penampilan Porter “tidak pernah rasa seakan-akan ia sekadar untuk kelihatan melampau atau berkostum sahaja. Ia benar-benar permulaan bagi satu perbualan tentang apa yang dianggap sebagai sesuai dari segi jantina”.  

— Reuters

Advertisement